Bola SepakSukan

Rui Patricio ditimpa kecederaan kepala angkara lutut Coady

PENJAGA gol Portugal, Rui Patricio berlari keluar dari kotak penalti untuk menghalang sayap kanan Liverpool, Mohamed Salah di Molineux sehingga mengakibatkan dia berlaga dengan lutut rakan sepasukan, Conor Coady.
Perlawanan tersebut terpaksa ditangguh selama 13 minit bagi memberi laluan kepada Patricio mendapatkan rawatan di dalam padang.

Penjaga gol itu kelihatan tidak sedarkan diri sehingga memerlukan bantuan topeng oksigen dan lehernya dipakaikan alat penyokong bagi melindungi tengkuknya.

Patricio kemudian diusung keluar padang dengan John Ruddy di bawa masuk sebagai penjaga gol gantian.
Wolves telahpun melakukan tiga pertukaran dalam perlawanan menentang Liverpool, tetapi Ruddy dibenarkan masuk sebagai pemain gantian berdasarkan peraturan kecederaan gegaran otak.

Bos Wolves, Nuno Espirito Santo mengesahkan penjaga gol itu berada dalam keadaan baik selepas perlawanan dan sedarkan diri.

“Kami baru sahaja mendapat maklumat, dia berada dalam keadaan baik, sedarkan diri dan ingat apa yang terjadi.

“Doktor memaklumkan kepada kami dia okay. Pelanggaran itu melibatkan Coady, saya rasa lutut Coady mengenai kepalanya, tetapi dia okay.

“Kami ada berbual tadi dan syukur dia okay. Situasi ini terutama melibatkan kecederaan gegaran kepala, telah menyebabkan kami berasa sangat bimbang. Tetapi dia okay dan akan sembuh,” kata Nuno.

Penyerang Wolves, Raul Jimenez ditimpa kecederaan retak tempurung kepala, musim ini selepas dia berlaga dengan bek tengah Arsenal, David Luiz pada Oktober 2020.

Jimenez masih belum boleh bermain untuk skuad Midlands itu dan dia hadir menyaksikan perlawanan di Molineux, hari ini (awal pagi waktu Malaysia) yang berkesudahan Liverpool mencatat kemenangan 1-0, terima kasih kepada jaringan bekas bintang Wolves, Diogo Jota.

“Nyawa lebih penting. Saya berharap tiada yang serius dan dia dapat segera sembuh,” kata Jota selepas perlawanan.

Sementara itu, bos Liverpool Jurgen Klopp menambah, insiden yang menimpa Patricio sangat teruk.

“Saya ada bertanyakan kepada staf Wolves, mereka nampaknya positif. Ia amat mengejutkan,” ujar Klopp.

Mengulas mengenai perlawanan, pengendali dari Jerman itu memberitahu kepada Sky Sports, keputusan amat penting dalam pertemuan tersebut.

“Ia satu perlawanan yang penting. Jika kami mahukan tiga mata penuh dengan cara yang kotor, saya tidak mempunyai masalah. Kami memiliki peluang terbaik di mana kami sepatutnya menyempurnakan dengan lebih baik.

“Pertahanan kami secara keseluruhan amat bagus. Cuma saya tidak suka sewaktu permulaan aksi, kami tidak cukup aktif.

“Kami bertahan dengan baik dan berjaya melancarkan serangan balas. Banyak detik yang baik berlaku. Kami jaringkan gol yang cantik. Saya menyangkakan penjaga gol berjaya menyelamatkan percubaan itu tetapi rupanya bola berjaya membolosi gawang.

“Banyak berita baik malam ini (awal pagi waktu Malaysia) tetapi apa yang paling penting ialah tiga mata.

“Kami mahu masuk ke dalam rehat antarabangsa dengan perasaan positif dan kami berjaya melakukannya,” katanya. – Mirror – SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button