Nasional

Sultan Selangor bimbang peningkatan rasuah libat kakitangan kerajaan

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan Jabatan-jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Negeri Selangor.

Titah Baginda, tindakan segelintir kakitangan yang terlibat di dalam jenayah yang tidak bermoral itu telah mencemarkan reputasi dan imej pihak Kerajaan dan pihak Berkuasa yang terlibat.

Menurut Sultan Sharafuddin, gejala rasuah merupakan perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, Sultan Selangor bertitah, seandainya gejala rasuah terus berlaku dengan berleluasa ianya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan terbabit dalam melaksanakan tindakan undang-undang.

“Justeru itu, Baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguatkuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan lain sama-sekali tidak melibatkan diri mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah.

“Dan perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak. Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama-sekali dari dilakukan,” kata kenyataan tersebut.

Baginda menegaskan agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Baginda turut menasihatkan agar penguatkuasa mengamalkan sikap berhemah di dalam mengambil sesuatu tindakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini selepas dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Selangor.-SM

 

 

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button