BeritaPendidikan

RTM sedia teruskan TV Pendidikan selepas sekolah dibuka

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) bersedia meneruskan program televisyen pendidikan (TV Pendidikan) walaupun selepas sesi persekolahan dibuka semula, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diputuskan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana RTM hanya menyediakan platform menerusi siaran TV Okey selama dua jam setiap hari mulai 6 April lalu selepas sesi persekolahan terpaksa dihentikan susulan pandemik COVID-19.

“Walaupun sesi persekolahan dibuka, idea tentang TV Pendidikan itu akan tetap diteruskan kerana  walaupun sekolah telah dibuka, yang saya faham keperluan siaran pendidikan itu masih wujud. Malah selama ini sebelum COVID-19, idea menubuhkan siaran itu sudah ada,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi tahun 2019 hingga 2020 hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan KPM sebelum ini bekerjasama dalam program TV Pendidikan bagi membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran selain pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr. Mohd. Radzi Md Jidin pada 1 Julai lalu mengumumkan, sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai bagi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Baru-baru ini RTM melancarkan satu saluran baharu iaitu Saluran Berita RTM, satu lagi medium tambahan untuk kerajaan di dalam usaha memerangi berita palsu dan menyampaikan berita sahih.

Saluran baharu itu dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di Angkasapuri di sini dan ia boleh diakses melalui siaran televisyen digital, myFreeview saluran 123.

“Dengan pengenalan saluran baharu ini, ia menunjukkan RTM melangkah satu tahap lagi tahap kehadapan dan saya yakin RTM secara keseluruhan akan dapat memberi sumbangan lebih besar terutama dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu.

Menurut siaran akhbar yang diedarkan kepada media, saluran bertunjangkan ‘Yang Sahih di Berita RTM’ ini memberi fokus kepada berita dan program berkaitan berita yang bersiaran 24 jam sehari meliputi pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Saluran baharu itu menawarkan 25 slot berita setiap hari, 12 bicarawara seminggu, lima hari berita perniagaan dan dua program majalah seminggu yang menyumbang kepada pemerkayaan  minda masyarakat dengan pelbagai maklumat. – BERNAMA

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button