Nasional

Royalti minyak: Kelantan mahu jumpa Perdana Menteri

KERAJAAN Kelantan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan itu tuntutan royalti petroleum.

Perkara itu diulangi oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berharap pertemuan itu akabn dapat  menyelesaikan isu tuntutan royalti petroleum.
Katanya, tarikh perjumpaan bergantung kepada Perdana Menteri.
Jelasnya, tuntuan itu dibuat berikutan kerajaan negeri berpegang kepada Perjanjian Petroleum 1975.
“Jadi kita harap pihak Kerajaan Pusat boleh memberi ruang perbincangan untuk mempertimbangkan semula (tuntutan) royalti petroleum,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 serta Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan, hari ini.

 

Timbalan Menteri Besar itu berkata, mereka yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan mampu menyelesaikan kes tuntutan itu.

Sebelum ini dilaporkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata PETRONAS tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 25 November lalu, beliau dilaporkan berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

“Bagaimanapun, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan perairan Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk Wang Ihsan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh Kerajaan Kelantan.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran dalam bentuk Wang Ihsan itu adalah bagi pelaksanaan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan pada 2019, Kelantan menerima sebanyak RM28 juta Wang Ihsan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menyamarakkan lagi tuntutan Kelantan itu ialah apabila Sabah melakar sejarah tersendiri apabila mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan syarikat itu selaras dengan keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini.

Beliau berkata, SMJ Petroleum akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan demi kepentingan Sabah.

“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya semasa majlis menandatangani CCA bersama Petronas di Menara Kinabalu hari ini.

(Visited 445 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button