fbpx
Rencana

Rotan Abah Din dan rekod Abang Jo

APABILA tersiar berita laporan Bernama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memecah rekod kerana menunggang motosikal sejauh 100 kilometer, ramai yang ketawa dan pening.

Dalam kalangan wartawan sendiri menganggap ia perkara yang lucu kerana hari ini orang berkayuh basikal sahaja 100 kilometer sudah menjadi perkara biasa.

Apatah lagi Abang Jo yang menunggang motosikal berkuasa besar jenis Honda Goldwing dengan 1,800cc dan mempunyai tiga roda.

Saya yakin mereka yang ketawa ini adalah dalam kalangan yang tidak tinggal atau tidak pernah bertugas di Sarawak.

Walaupun laporan berita itu agak terlalu mengampu dan berlebihan, tetapi ia mempunyai kisah yang perlu didalami.


Abang Jo seorang ahli politik yang telah berkecimpung di dalam bidang ini selama 40 tahun dan pernah dipinggirkan serta hampir putus asa.

Namun beliau tetap bertahan di atas sokongan rakyat yang tidak pernah putus-putus walaupun ketika beliau terperuk di penjuru.

Abang Jo yang sinonim denga Dewan Undangan Negeri Satok sebenarnya mencatat sejarah kerana ketua menteri pertama yang bermotosikal sejauh itu.

Dan lebih bersejarah adalah laluan itu iaitu Sibu ke Kapit. Bagi yang tidak memahami geografi Sarawak. Kapit ialah kawasan pedalaman yang jauh ketinggalan sebelum ini.

Sebenarnya sebelum ini belum ada jalan yang menghubungi Kapit dengan dunia luar. Kapit yang hanya ada beberapa kilometer jalan di sekitar pekannya yang hanya dihubungi dengan dunia luar melalui pengangkutan air.

Walaupun memang terdapat kereta di kawasan berkenaan ia dibawa masuk menggunakan bot atau laluan balak. Jalan berturap hanya beberapa kilometer berpusing di sekitar pekan sahaja.

Jadi apabila siap dibina jalan dari Sibu iaitu bandar terdekat ke Kapit ia merupakan satu sejarah dan sangat dibangga oleh rakyat Sarawak.

Bukan sahaja Kapit, banyak lagi kawasan yang tiada perhubungan jalan raya yang baik di Sarawak. Bukan mudah untuk membangunkan negeri yang saiznya lebih besar daripada Semenanjung Malaysia dan pada yang sama kepadatan penduduk masih rendah.

Jadi apabila kerajaan membina jalan-jalan raya, terutama Lebuh Raya Pan Borneo ia merupakan sesuatu yang telah lama dinanti oleh penduduk Sarawak.

Ada satu lagi tempat bernama Kanowit atau sering disebut secara berseloroh sebagai Cannot Wait juga bakal menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion di bawah pembangunan kawasan Ulu Rajang, juga sebahagian daripada jajaran Kapit.

Peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk membina jalan raya di kawasan Empangan Nanga Mujong-Baleh sepanjang 73 kilometer, jalan raya di Nanga Serau-Sungai Kain dan jalan raya di Tunoh dari Nanga Mujong ke Nanga Tiau.

Rakan-rakan di Semenanjung Malaysia tidak seharusnya cemburu dengan peruntukan besar diperolehi oleh Sarawak, kerana telah lama negeri berkenaan ketinggalan. Sarawak Cannot Wait lagi.

Satu lagi yang menarik perhatian orang ramai dan menerima respons yang negatif ialah apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diuar-uarkan sebagai Abah Din oleh tim komunikasinya membuat perutusan untuk kesekian kalinya.

Abah Din menjadi popular apabila tampil bersahaja pertama kali sebagai perdana menteri dengan membawa kisah kesusahan rakyat Makcik Kiah yang dibantu oleh kerajaan.

Bagaimanapun populariti Abah semakin hari semakin terhakis kerana kelemahan kerajaan pimpinannya yang selain rapuh, juga terlalu banyak berpolitik.

Walaupun hakikatnya kerajaan yang ada pada hari ini sangat prihatin, tetapi rakyat lebih bimbang dengan wabak Covid-19 berbanding hal lain.

Perebutan kuasa di Sabah dan peringkat persekutuan melemaskan rakyat hingga menenggelamkan populariti Abah. Menyebabkan sepanjang perutusan berlangsung ia dibanjiri dengan komen negatif.

Abah yang kini lebih dikenali sebagai Bapa Perutusan dilihat gagal memahami kehendak rakyat, sebaliknya hanya bercerita kisah kehebatannya ketika tampil secara langsung di hadapan khalayak.

Mungkin pasukan komunikasinya juga terlupa untuk memasukkan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak berusia sebulan yang meninggal dunia kerana Covid-19.

Abah juga terlupa memohon maaf kepada rakyat kerana sikap rakus ahli politik menyebabkan penularan meningkat mendadak.

Rakyat sekarang sedang resah dan permintaan yang paling asas ialah supaya mengehadkan persekolahan bagi kelas yang bakal menduduki peperiksaan utama sahaja.

Tidak perlulah yang lainnya berkeliaran di sekolah hingga mengundang risiko penularan wabak pandemik tersebut.

Jika Perintah Kawalan Pergerakan tidak mampu dilaksanakan kerana bakal menyebabkan keruntuhan ekonomi negara, redakanlah keresahan ibu bapa.

Kerajaan hari ini sebenarnya sangat prihatin berbanding kerajaan sebelum ini dalam menangani krisis dan membela nasib rakyat.

Bagi mereka yang telah melalui kegawatan ekonomi pada tahun 1997, pasti merasakan perbezaannya.

Kerajaan pada ketika itu tidak sesen sekalipun memberi bantuan kepada rakyat yang terjejas, apatah lagi penangguhan bayaran hutang bank, bahkan sempat menaikkan kadar faedah bank hingga ke tahap 12 peratus kerana mendapat nasihat daripada IMF.

Pada ketika itu matawang kita diserang teruk hingga kerajaan memutuskan menambat nilai ringgit dengan dolar Amerika Syarikat dan kaedah tersebut telah menyelamatkan ekonomi negara daripada jatuh bankrap.

Sekarang pelbagai bantuan tunai diberikan secara langsung dan tidak secara langsung. Cuma permintaan kecil rakyat yang resah, tetapi menjadi terlalu besar bagi kerajaan ialah untuk melaksanakan PKP sekali lagi atau setidaknya menutup sekolah buat sementara waktu.

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button