fbpx
Nasional

Rosmah boleh pengaruhi keputusan kerajaan – Pendakwa

Oleh BERNAMA 

WALAUPUN tidak mempunyai kedudukan rasmi, isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bertindak ‘bossy’ (suka mengarah) sehingga boleh mempengaruhi keputusan kerajaan, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Rosmah sendiri tidak mempunyai kedudukan rasmi tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain.

“Dia menempatkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam,” katanya ketika membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan ikut keadaan bagi menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.


Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 Sept, 2018.

Perbicaraan kes rasuah yang dinanti-nantikan itu dijadual bermula Isnin lalu tetapi ia ditangguhkan hingga hari ini kerana Rosmah tidak hadir pada hari berkenaan kerana telah diberi cuti sakit sehingga Sabtu ini.

Hakim Mohamed Zaini berkata, mahkamah bersimpati dengan Rosmah atas keadaan kesihatannya dan membenarkan penangguhan selama dua hari lagi dan menegaskan bahawa beliau akan membenarkan penangguhan kes itu lagi.

Katanya, Rosmah akan dibenarkan duduk di kerusi roda semasa perbicaraan dan akan  diberi waktu rehat sebanyak mungkin jika dia tidak berasa sihat.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button