Hiburan

Rosli Mohalim Sweet Charity semakin pulih daripada serangan strok

Wartawan Suara Merdeka

JOHOR BAHRU 5 Mac – Sokongan isteri serta anak-anak mendorong pemain gitar utama kumpulan rock awal 70-an,
Rosli Mohalim daripada kumpulan Sweet Charity kembali pulih selepas diserang penyakit strok.

Dia bersama penyanyi tersohor, Datuk Ramli Sarip menganggotai Sweet Charity hingga kini cukup popular
dengan lagu Kamelia, Teratai, Jangan Tunggu Lama-Lama dan banyak lagi, diserang strok sejak tiga bulan
lalu.

Bercakap kepada Suara Merdeka, Rosli, 67, berkata, keadaannya semakin pulih selepas menjalani pelbagai
rawatan sejak diserang penyakit itu.

Menurutnya, dia diserang strok sewaktu berada di rumahnya di Skudai, Johor Bahru.

“Alhamdulillah, saya sudah boleh menggerakkan kaki dan tangan walaupun tidak sepenuhnya tetapi syukurlah
kini penyakit beransur pulih.

“Saya mula diserang strok, sebelah kanan badan tidak boleh digerakkan termasuk kaki dan tangan. Sebelum
ini saya terbaring dan makan serta minum dibantu isteri,” ujarnya.

Rosli berkata, ramai di antara rakan seperjuangan tidak mengetahui dia diserang penyakit strok kerana
tidak boleh bercakap ketika itu.

Namun katanya, baru-baru ini setelah pulih barulah dia memaklumkan kejadian menimpanya kepada rakan-rakan
artis termasuk anggota Sweet Charity.

“Ramai sangat artis lama, peminat serta rakan-rakannya tidak putus-putus datang memberi sokongan kepada
saya dan ini sebenarnya penguat semangat saya untuknya sembuh seperti sedia kala,” ujarnya.

Katanya, dia kini masih menjalani rawatan termasuk urut, fisioterapi dan akupuntur

Sebanyak 10 album dilahirkan iaitu Sweet Charity (1979), Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu
(1982), Batu (1983), Berita Gempa (1985), Sweet Charity ’88 (1988), Koleksi Sweet Charity (1984), Koleksi
Terbaik Wings/Sweet Charity (1988), Pilihan Terbaik 1979-85 (1988).

Selain itu beliau pernah tampil dalam beberapa konsert seperti Konsert Reunion Sejuta Wajah – Singapura
(1995), Konsert Reunion Sejuta Wajah – Stadium Merdeka Kuala Lumpur (1996), Konsert “Tribute to Sweet
Charity” – Singapura (1999) dan Konsert “Malaysian Moto GP” – Litar Sepang (2000)

(Visited 2,291 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button