Kesihatan

Jemaah haji terkena keletihan haba

Ramai jemaah haji Malaysia mengalami keletihan haba ketika di Padang Arafah ekoran suhu yang mencecah hingga 50 darjah celsius.

Ketua Pengarah kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata jemaah yang mengalami simptom berkenaan diberi rawatan segera.

Berikut perkongsian beliau di dalam Facebook peribadinya.

Bermabit di Muzdalifah pada malam 10 Dzulhijjah yang lepas merupakan salah satu daripada wajib Haji.

Jemaah Malaysia akan bertolak dari bumi Arafah selepas Maghrib untuk bermabit Muzdalifah sebelum bergerak ke Mina, seawal separuh malam hingga menjelang waktu subuh.

Walaupun tempoh ini agak singkat, namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika jemaah bermabit & menanti ketibaan bas. Apatah lagi majoriti jemaah baru sahaja menghabiskan keringat berwukuf di Arafah, mengejar fadhilat & kelebihan yang Allah janjikan.

Oleh itu, satu pasukan operasi perubatan Muzdalifah dibentuk diketuai Dr Rohisham (Pakar Perunding Anestesiologi) yang bergerak lebih awal dari Arafah bagi menyiapkan Khemah Kecemasan Muzdalifah.

Kes-kes dirujuk melalui petugas yang bertugas di maktab-maktab, ataupun melalui pasukan yang mobile yang bergerak terus kepada pesakit yang berada di dalam launtan jemaah yang bermabit.

Antara jemaah yang disantuni termasuk pesakit yang mengalami “heat exhaustion” atau keletihan haba oleh kerana berwukuf ketika suhu yang menjangkau 45-50 °C, memerlukan rawatan segera & hidrasi.

Ada juga yang mengalami kesakitan abdomen akut, yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Mina Al Wadi. Pesakit dibedah pada hari yang sama, terus menjalani pemulihan segera dan dihantar pulang ke maktab sebelum selesai operasi haji di Mina.

Syukur Alhamdulillah, keadaan Khemah Muzdalifah umumnya terkawal, sehingga seluruh jemaah Malaysia selesai bergerak ke Mina, sebelum terbit matahari. Petugas haji menjadi kumpulan terakhir meninggalkan bumi Muzdalifah selepas operasi Khemah Kecemasan ditamatkan.

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button