Sukan

Bila berbasikal jadi satu dosa

DAHULU kala, basikal pernah menjadi pengangkutan utama dan mereka yang mempunyai basikal dianggap orang kaya, ibaratnya mempunyai kereta mewah pada zaman sekarang.

Kini zaman itu kembali lagi. Bagaimanapun situasinya agak berbeza. Mereka yang menceburkan diri dalam riadah berbasikal dianggap kaya.

Seperti apa juga sukan jika dianggap milik orang kaya, ramai yang benci dan tidak suka.

Sedang gambaran bahawa berbasikal merupakan sukan orang kaya adalah sangat klise dan tidak benar.

Cuma basikal yang digunakan untuk berkayuh jarak jauh ini lebih mahal berbanding basikal yang digunakan untuk berkayuh di dalam taman sahaja.

Kebanyakan mereka yang berbasikal menabung atau berhutang untuk membeli basikal yang berkualiti dan berteknologi tinggi demi kesihatan dan hobi serta kepuasan.

Sebagai penunggang basikal saya menghormati keputusan dibuat oleh pengendali Lebuh Raya Latar yang terletak di Selangor yang tidak membenarkan basikal memasuki lebuh raya berkenaan.

Pada masa yang sama saya menghormati juga Lebuh Raya Lekas terletak di sempadan Selangor-Negeri Sembilan yang membenarkan orang ramai berbasikal di lebuh raya berkenaan.

Bahkan mereka menganjurkan program kayuhan Lekas secara berkala dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Program sedemikian bukan bertujuan mengutip laba semata-mata, tetapi untuk menggalakkan rakyat negara ini hidup sihat dengan beriadah dan pada masa yang sama mendidik masyarakat negara ini supaya menghormati orang yang berkayuh di pinggir lebuh raya.

Lebuh Raya Guthrie memang dibina oleh mereka yang cukup berwawasan kerana laluan motosikal telah disediakan dan pada masa yang sama dapat digunakan oleh penunggang basikal pada hujung minggu.

Menghentam pengayuh basikal hanya menimbulkan sikap negatif masyarakat kepada aktiviti sihat, bahkan mereka sengaja menghimpit penunggang basikal bertujuan untuk menakut-nakutkan hasil daripada pendekatan negatif yang digunakan oleh pengendali lebuh raya.

Sedangkan lihat sahaja bagaimana perlumbaan berprestij Le Tour De Langkawi tempoh hari kita berjaya melahirkan pelumba tempatan yang mampu bersaing dengan pelumba antarabangsa.

Bagaimanapun kita mahu mencungkil bakat dan melahirkan pelumba yang berkualiti jika kebanyakan kita hanya berkayuh basikal di dalam taman dan menggunakan basikal berkualiti rendah.

Kita lihat sahaja pelumba kebangsaan Azizulhasni Awang kini berada sebaris dengan pelumba dunia basikalnya bernilai jutaan ringgit.

Kebanyakan mereka yang berkayuh di lebuh raya adalah terdiri yang menggunakan basikal khusus untuk jalan raya kerana ia lebih ringan dan laju.

Bagi mereka yang gemarkan sukan berbasikal di belantara ia tidak menjadi masalah mereka hanya perlu meredah kebun sawit dan getah yang masih banyak di pinggir-pinggir Lembah Klang.

Berikut mesej di Facebook pengendali Latar yang tular di media sosial dan pembaca boleh melihat komen orang ramai yang sangat negatif.

Kenyataan ini mengundang komen yang sangat tidak membina dan menjengkelkan menggambarkan tahap pemikiran masyarakat yang begitu rendah.

Lebih saya tidak faham hantaran itu menggunakan tanda pagar COVID-19. Sedangkan sukan berbasikal antara yang dibenarkan dan hanya perlu menjaga penjarakan sosial serta tidak merentasi negeri.

Apakah pengendali Latar mengambil pendekatan jika gas masak habis dan nasi tidak boleh ditanak, maka kita tidak perlu makan atau tidak perlu menanak nasi sampai bila-bila?

Disebabkan satu dua kejadian kemalangan maka aktiviti berbasikal diharamkan terus di lebuh raya berkenaan dan bukannya mereka mahu mendidik orang ramai.

LARANGAN BERBASIKAL DI LEBUHRAYA

Mohon kepada semua penunggang basikal untuk tidak membahayakan keselamatan anda terutama sekali keselamatan pengguna lebuhraya yang lain.

Sila ambil maklum papan tanda larangan berbasikal yang diletakkan di setiap persimpangan masuk ke lebuhraya.

Mesej di VMS tentang peringatan larangan berbasikal juga telah dipaparkan.

Pihak LATAR juga sentiasa bekerjasama dengan pasukan polis lebuhraya untuk memberi nasihat dan memantau pergerakan penunggang basikal.

LATAR menghargai semua pengguna lebuhraya kami dan komited dalam memastikan keselamatan lebuhraya serta memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada semua pengguna lebuhraya.

(Visited 666 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button