Nasional

Covid-19: Hamzah Zainuddin Stabil

KEADAAN kesihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dilaporkan stabil dan tidak dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seperti didakwa.

Beliau kini dilaporkan berada dalam proses pemulihan berikutan disahkan dijangkiti wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu masih lagi menjalani kuarantin  di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pejabat Menteri Dalam Negeri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan Hamzah.

“Untuk makluman, Hamzah kini sedang menjalani rawatan serta kuarantin di PPUM dan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil.”

Demikian kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Dalam Negeri hari ini berhubung perkembangan terkini keadaan kesihatan Hamzah.

Hamzah antara beberapa anggota Kabinet yang disahkan positif Covid-19 pada minggu lalu disusuli dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kemudian, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun juga dilaporkan positif wabak itu.

Baru-baru ini, seorang lagi anggota Kabinet, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dilaporkan positif Covid-19 dan sedang berada dalam pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, orang ramai digesa tidak mudah percaya kepada berita tular dan hanya mendapatkan perkembangan mengenai Menteri Dalam Negeri melalui makluman pejabatnya.

“Sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan Hamzah yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri.

“Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri memohon agar semua pihak untuk terus mendoakan kesembuhan kepada Hamzah,” ujarnya. – SM

(Visited 609 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button