Nasional

Rohingya: Misi Malaysia berpura-pura atau kemanusiaan?

KETIKA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masih lena dibuai mimpi, Malaysia telah bangkit menentang dasar apartied di Afrika Selatan.

Kemudian Malaysia berada di barisan depan menentang pembersihan etnik Bosnia tahun 1990-an dan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Akibat perjuangan tidak henti-henti ini yang seolah-olah Kuala Lumpur sahaja pejuang etnik itu di Asia Tenggara ini, tekanan demi tekanan akhirnya dikenakan terhadap Kounselor Myanmar Aung San Suu Kyi semasa itu.

Ia mengandungi harapan paling tidak beliau akan mengakui kekejaman yang didalangi pihak junta tentera terhadap masyarakat Rohingya adalah satu kenyataan. Bukannya berita yang sengaja diperbesarkan.

Walaupun pengaruh Suu Kyi terhadap jeneral tentera Myanmar adalah agak terhad tetapi setidak-tidaknya pengakuan senario sebenar mampu menjurus kesungguhan kerajaan Myanmar mencari penyelesaian kemelut ini.

Impak terbesarnya berlaku sekitar November 2017 apabila Majlis Bandar Raya Oxford membuat keputusan untuk menarik balik Anugerah Kebebasan Oxford yang diberikan kepada Suu Kyi kerana bandar tersebut enggan dikaitkan dengan individu yang tidak mengendahkan keganasan yang berlaku di negara mereka sendiri.

Meskipun barangkali Suu Kyi tidak gusar dengan penarikan anugerah tersebut, tetapi hakikatnya bandar Oxford telah melaksanakan amanah sosial kerana ini adalah kali pertama dalam sejarah anugerah tersebut terpaksa ditarik balik.

Pemimpin Vatican, Pope Francis pernah menyebut kemelut ini secara langsung dan telah mengguna ungkapan Rohingya. Beliau tidak asing memperjuangkan isu sensitif melibatkan pembersihan etnik atau genocide seperti pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia ketika Perang Dunia I atau pembunuhan yang berlaku di Rwanda pada 1994.

Malangnya, dalam lawatannya ke Myanmar tiga tahun lepas, Pope Francis tidak mengungkit isu Rohingya secara langsung samada dalam ucapan atau pertemuan beliau dengan Suu Kyi.

Berhati-hatinya Pope Francis di Myanmar berkemungkinan untuk menjaga kepentingan kumpulan etnik minoriti yang lain seperti Kachin, Karen, Chin dan Akha yang kebanyakannya adalah penganut Katolik. Ini adalah kerana dalam ratusan kumpulan etnik yang wujud di Myanmar, hanya etnik Rohingya dilucut kerakyatan mereka dan diperlakukan secara kejam oleh pihak tentera tanpa dipeduli oleh kerajaan.

Tidak keterlaluan jika diandaikan sikap waspada Pope Francis adalah untuk mengelak tindak balas terhadap etnik Katolik kerana tentera Myanmar dan juga beberapa kumpulan Buddha yang ekstrem dikatakan sering mengamal sikap balas dendam sekiranya pemimpin dari negara atau kumpulan tertentu bersuara kritikal terhadap isu Rohingya.

Isu penindasan terhadap Rohingya di Myanmar adalah tulen. Apabila suatu ketika wartawan dari Malaysia dan Singapura iaitu Mok Choy Lin dan Lau Mon Meng bersama-sama dengan dua lagi rakyat tempatan dituduh mengguna dron tanpa permit di kawasan larangan, pertuduhan seperti itu dianggap usaha untuk menyukarkan wartawan asing melaksana tugas mereka terutama sekali pelaporan tersebut melibatkan isu Rohingya.

Kesemua mereka telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan mengikut peruntukan Akta Pesawat yang jarang sekali digunakan.

Tetapi apabila diberitakan kedua-dua rakyat Malaysia dan Singapura ini bakal dituduh dengan dua tuduhan baharu melalui Akta Imigresen dan juga Perundangan Export dan Import yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, maka ramai mengandaikan strategi itu bukan lagi untuk menyukarkan tugas wartawan tetapi sebagai amaran tersirat kepada negara yang kritikal dengan Myanmar.

Sebab itu negara ahli ASEAN begitu berhati-hati apabila berhadapan dengan isu Rohingya kerana bukan sahaja tidak mahu dituduh mencampuri urusan dalaman Myanmar, tetapi juga akan terdedah dengan sikap balas dendam yang sering diamalkan oleh Myanmar.

Malah ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 yang diadakan di Manila pada 2017, ungkapan Rohingya tidak digunakan secara langsung.

Sebab itu apabila Malaysia secara langsung mengkritik kerajaan Myanmar atau pun menggunakan pentas antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ketika mengetengahkan kemelut yang dihadapi Rohingya, Kuala Lumpur amat peka terhadap risiko yang bakal dihadapi.

Begitu juga apabila Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelit agenda perbincangan mengenai isu Rohingya dalam pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump, Presiden Peranchis Francois Macron dan Perdana Menteri Britain Theresa May, strategi tersebut sememangnya telah berjaya menarik perhatian pemimpin kuasa besar walaupun sebenarnya penuh dengan risiko yang lazimnya tidak akan diambil oleh pemimpin negara ASEAN yang lain.

Kuala Lumpur pada era kerajaan sebelum Pakatan Harapan amat mengerti risiko yang dihadapi sebagai negara yang paling vokal dalam ASEAN memperjuang nasib Rohingya tetapi jika hendak dibandingkan dengan manfaat yang telah diperoleh, maka risiko yang telah diambil itu amat berbaloi sekali.

Bukan sahaja Setiausaha Agung PBB melabelkan apa yang berlaku dianggap sebagai genocide, saranan yang serupa juga diakui oleh beberapa pemimpin Eropah.

Paling signifikan ialah apabila Setiausaha Negara AS Rex Tillerson telah memberi kata dua kepada tentera Myanmar supaya mengendurkan tindakan ketenteraan. Walaupun Amerika Syarikat belum lagi memberi isyarat atau amaran untuk mengenakan sekatan ekonomi ketika itu, amaran dari Tillerson telah mengejutkan Suu Kyi.

Malaysia semasa era Najib komited memperjuangkan nasib Rohingya. Dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018, beliau menegaskan, situasi di negeri Rakhine,¬ Myanmar dan penderitaan etnik Rohingya serta perpindahan mereka tidak boleh lagi dianggap sebagai isu domestik.

Persidangan NGO Islam ASEAN – OIC di Kuala Lumpur 13-14 Mac 2018 telah menampilkan krisis Rohingya sebagai isu tumpuan.

Semasa persidangan tersebut, ASEAN Rohingya Center (ARC) dalam sesi Forum Kemanusiaan Global telah mengusulkan deklarasi 2018 -2028 sebagai Dekad Solidariti Antarabangsa Bersama Umat Rohingya.

Deklarasi itu telah mendapat persetujuan sebulat suara oleh delegasi-delegasi dari negara-negara ASEAN dan perisytiharan deklarasinya telah dibacakan oleh Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Pengerusi Persidangan.

Dan sebenarnya Malaysia tidak pernah mempunyai dasar berkenaan pelarian yang berada di sini.

Pelarian di Malaysia yang mempunyai kad UNHCR atau tidak, mereka didefinisikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi pihak kerajaan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa agensi tetap mengambil berat terhadap golongan pelarian tersebut.

Di samping itu, bantuan-bantuan kemanusiaan terhadap pelarian majoritinya dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau NGO tempatan, atau pertubuhan yang ditubuhkan oleh komuniti pelarian sendiri.

Hakikatnya, pemimpin Malaysia, kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia adalah betul dari prinsip kemanusiaan memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya.

Sebagai negara yang bermaruah, kita bertanggungjawab untuk menjulang prinsip hak asasi dan memperjuangkan kemanusiaan tanpa memikirkan kepentingan sendiri.

Cuma masa ketika ini tidak berpihak kepada pelarian Rohingya kerana Kuala Lumpur dan seluruh Asia Tenggara sedang bekerja keras membendung penularan wabak COVID-19.

Adalah lebih elok kerajaan Myanmar sendiri membendung percubaan lebih ramai lagi etnik Rohingya ini untuk melarikan diri ke negara-negara rantau ini – meskipun `mustahil’ – terutama sekali `berlabuh’ di perairan Malaysia yang menjadi pilihan teratas mereka. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button