Nasional

Shafie Apdal gagal bangunkan luar bandar

Eksklusif

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kononnya Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun berkuasa gagal membangunkan Sabah.

Sebaliknya, tegas beliau, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itulah yang harus dipersalahkan setelah gagal memenuhi kepercayaan kerajaan Pusat semasa menyandang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Saya (selaku Perdana Menteri dari 2009-2018)  sudah sediakan dana RM1 bilion untuk menaiktaraf sekolah-sekolah daif  di Sabah.

“Kalau mereka (Warisan) tuduh BN tak buat apa-apa tanggungjawab bangunkan kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, maka sebab itulah kita (Pusat) lantik Shafie.

“Sebab saya nak imbangi pembangunan Sabah dan Sarawak serta Semenanjung dan caranya saya fikir pada ketika itu  melantik orang Sabah. Memang itulah tujuan saya lantik beliau (Mohd.  Shafie),” kata beliau kepada Suara Merdeka di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai taktik kempen jentera pilihan raya Warisan memperjuangkan motto “Sabah for Sabahan” untuk meraih sokongan pengundi di Kimanis, Najib berkata, laungan tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Realitinya, kita beri hak kepada Sabah dari segi pentadbiran dan kepada tuntutan rakyat Sabah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Apa pun kita tuntut, mestilah dalam ruang lingkup tafsiran Perlembagaan.

“Umpamanya, zaman saya Perdana Menteri, antara langkah saya ambil adalah wajibkan 90 peratus guru-guru di Sabah mesti terdiri daripada anak tempatan. Ini telah dicapai.

“Ia juga menyebabkan guru di Sabah tak berpindah-randah. Kalau tak, dulu tiga atau  empat tahun tak balik-balik duduk di Semenanjung.

“Kita (Pusat waktu itu) juga mengadakan rundingan dengan Sabah untuk mencari kata sepakat apa yang menjadi hak rakyat Sabah dan dipulangkan kepada orang sabah. Tapi mestilah bersandarkan Perlembagaan,” kata beliau.

Mengenai penolakan kerajaan negeri terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang UMNO, Pas dan MCA dari Semenanjung berkempen di Kimanis, kata Najib lagi:

“Mereka  (Warisan) pun  bawa pemimpin Pakatan Harapan  dari Semenanjung datang ke sini (Kimanis)…Tan Sri Muhyiddin Yassin datang semalam, saya difahamkan Lim Guan Eng juga pernah datang.

“Dua tiga hari lagi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  pula datang. Tak ada bezanya. Kalau kita ada kempen pilihan raya di Semenanjung, orang Sabah pun boleh datang kempen.  Kita satu negara, jangan kata ini Sabah, ini Semenanjung. Jangan main politik.” – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button