
RM7,000 Trip Sekolah SK Ke Jepun? Luahan Ibu Bapa ini Cetus Pedebatan
KISAH perkongsian Fizhilda cetus perbualan tentang jurang kemampuan ibu bapa dalam sistem pendidikan hari ini.
“Jika kami mampu dan tiada komitmen lain, memang kami akan beri saja RM7,000 itu. Tapi kami bukan tak nak… kami tak mampu.”
Begitulah luahan jujur seorang ibu, Fizhilda, di platform Threads apabila terpaksa menolak permintaan anak-anak untuk menyertai lawatan sekolah ke Jepun kerana kekangan kewangan.
Menurutnya, dua orang anaknya – pada tahun yang berlainan – pernah menyatakan hasrat untuk ikut serta dalam trip sekolah ke Jepun. Kosnya bukan sedikit, dahulu RM6,000, kini meningkat kepada RM7,000 seorang. Sebagai ibu bapa, keinginan anak-anak itu menyayat hati, lebih-lebih lagi apabila mereka merajuk dan kecewa.
“Kita niaga pun belum tentu untung. Bukan tak nak bagi, tapi memang tak mampu. Jenuh pujuk anak-anak,” coretnya yang menyentuh hati ramai.
Fizhilda turut berkongsi kisah sewaktu membeli jam tangan pintar (smartwatch) bernilai RM30 untuk anaknya, namun ditegur guru yang bimbang tindakan itu membuatkan murid lain terasa rendah diri kerana tidak mampu memiliki barangan yang sama.
Perkongsian ini mencerminkan realiti yang dialami ramai ibu bapa — terhimpit antara keinginan membahagiakan anak-anak dan batasan kemampuan kewangan yang sebenar.
Netizen Tersentuh: “Kami Pun Pernah Lalui…”
Ramai pengguna media sosial tampil menyuarakan sokongan, malah berkongsi kisah serupa. Ada yang menyarankan agar pihak sekolah mempertimbangkan lawatan yang lebih mampu milik, atau menyediakan subsidi khusus untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.
“Bukan semua orang ada kemampuan. Anak-anak memang nak yang terbaik, tapi ibu bapa pun manusia biasa. Kadang terpaksa tolak dengan berat hati.”