NasionalPolitik

Maaflah jika Abah mula menggunakan rotan!

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin memberi amaran kepada rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata, melalui agensi pengkuatkuasaan tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Dengan nada lembut tetapi tegas, Muhyiddin yang membahasakan dirinya sebagai Abah meminta maaf jika dia mula menggunakan ‘rotan’ bagi memastikan  SOP dipatuhi oleh semua pihak.

“Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!” tegas Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Covid-19 yang disiarkan secara langsung pada pukul 6 petang tadi.

Katanya, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak Covid-19.

“Ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai.

“Walaubagaimana pun, kerajaan akan mendapatkan input dari KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu,” kata Muhyiddin.

Apa yang perlu dan amat dikehendaki dilakukan oleh semua pihak pada masa ini ialah patuh kepada SOP dan segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Muhyiddin turut mengajak rakyat untuk bersama-sama menghadapi perang menentang Covid-19 secara bersama.

“Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. InsyaAllah, kita doakan mudah-mudahan kita
semua akan menang akhirnya,” kata Muhyiddin penuh harapan.

Perdana Menteri membuat perutusan khas selepas kes Covid-19 hari ini mencatatkan angkat 691 kes yang paling tinggi pernah dicatatkan setakat ini. Empat kematian juga direkodkan dengan bayi berusia satu tahun menjadi mangsa terbaharu virus maut berkenaan.

“Daripada kejayaan kita membendung wabak ini hingga ke satu digit pada satu ketika, kini telah berlaku peningkatan kes-kes harian baharu Covid-19 hingga mencecah tiga digit. Perkembangan ini amat
membimbangkan kita semua,” kata Muhyiddin.

Dua negeri mencatatkan bilangan kes baharu tertinggi iaitu Kedah dan Sabah. Sehingga semalam seramai 18,712 orang dari 13 kluster di negeri Sabah telah disaring dengan 1,584 orang didapati positif Covid-19. Di
negeri Kedah, seramai 53,097 orang dari 9 kluster telah disaring dengan 888 orang didapati positif.-SM

(Visited 510 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button