Nasionalpilihan

RM500 bayaran tambahan GKP 3.0 disalur hari ini

BAYARAN tambahan Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM500 seperti yang diumumkan menerusi Pakej Pemerkasa+ akan dibayar bermula hari ini secara berperingkat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran itu adalah bagi menyokong perniagaan secara berterusan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dalam membantu aliran tunai mereka.

“Satu daripada langkah pada tahun ini adalah Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak.

“Dari jumlah ini, RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro telahpun dikreditkan ke dalam akaun penerima pada pertengahan Jun 2021.

“Seterusnya, jumlah tambahan sebanyak RM500, yang telah diumumkan melalui Pakej PEMERKASA+,
akan dibayar bermula hari ini secara berperingkat,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP.

Jelasnya, di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia dan penerima baharu pada bulan September dan November depan, masing-masing sebanyak RM500.

“Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021.

“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir
1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini.

Ujarnya, selain dari GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.

“Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN.

“Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion. Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej PEMULIH,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai dana-dana ini serta bantuan-bantuan Kerajaan yang lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/. -SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button