Nasional

RM332 juta lahir atlet ke podium antarabangsa

Sebanyak RM332 juta diperuntukan oleh kerajaan untuk melaksanakan program latihan dan fasiliti sukan bagi memastikan atlet negara terus mengharumkan nama negara ke podium sukan antarabangsa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi Bajet 2023 sebanyak RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

Menurutnya, RM154 juta pula bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke
podium sukan antarabangsa.

Katanya, sebanyak RM20 juta bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag, RM13 juta untuk pembangunan e-sukan dan potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Tahun ini kita telah memahat sejarah sukan yang amat membanggakan. Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh dunia. Kejayaan paling besar pastinya pengakhiran 45 tahun untuk bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia melalui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

“Tahniah kami ucapkan dan terima kasih kepada semua wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia.

“Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet para negara yang berjaya menggenggam 36 emas di Sukan Para ASEAN,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi melahirkan khusus untuk pembangunan sukan orang kurang upaya (OKU) dengan tujuan melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa.

Selain itu katanya, kebajikan atlet juga akan terus terpelihara apabila kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk tahun hadapan.

Sehubungan itu beliau meminta seluruh Keluarga Malaysia untuk meluangkan sedikit masa beriadah demi memupuk gaya hidup lebih sihat sempena sambutan Hari Sukan Negara, esok.

“Pada tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM10 juta untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia,” ujarnya. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button