Nasional

Impian Salahuddin meninggal dalam keadaan bekerja untuk rakyat

“Ini impian dia, dia memang cakap kalau meninggal dunia, biarlah dalam keadaan dia sedang bekerja untuk rakyat,” kata anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain.

Iskandar, 37, berkata, sejak dari kecil, dia enam beradik sudah dididik supaya faham akan kerja bapanya itu dan meletakkan bapanya sebagai milik rakyat.

ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Sebagai anak, kami sudah lama meletakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.

“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat, antaranya dia pernah pesan jangan campur urusan kerjanya dan dia ajar kami untuk berdikari serta tidak bergantung padanya.

“Kami pun reda apabila dia sudah capai impiannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, hari ini.

Terdahulu, Iskandar turut mengimamkan jenazah Allahyarham Salahuddin bagi menunaikan permintaan terakhir Allahyarham.

Iskandar yang mewakili keluarga memohon semua pihak mendoakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu pergi dengan nama yang baik dan jasa baiknya.

“Kalau ada yang buruk-buruk, andai dia silap dan terkasar kata, kami minta maaf,” katanya.

Sementara itu, isteri Salahuddin, Datin Seri Fatimah Taha, 60, ketika ditemui berkata, suaminya adalah seorang yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanan.

“Tekanan darah dia okay, bacaan gula pun okay, cuma mungkin apa yang sebabkan burst (pendarahan otak) mungkin kerana dia penat sangat agaknya.

“Dia memang ada mengadu, dia penat dan pening. Syukurlah saya berada bersama dia ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat).

“Saya tidak boleh bayangkan kalau dia keseorangan waktu itu hendak survive (bertahan) dengan sawan dan sebagainya,” katanya sebak.

Fatimah yang kebiasaannya akan bersama Salahuddin dalam kebanyakan program dihadiri Ahli Parlimen Pulai itu berkata, dia sedih apabila memikirkan selepas ini dia berseorangan.

“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik. Jika keluar tinggalkan saya untuk kerja tetapi sekarang, dia tinggal saya dan dia tidak akan balik lagi,” katanya.

Pada masa sama, adik Salahuddin, Ghazaley, 56, menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang workaholic dan kerja bermati-matian apabila diamanahkan namun dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Katanya, Salahuddin juga seorang yang periang dan penyayang sebagai seorang abang sulung terutama sekali apabila beliau berperanan sebagai pengganti bapa mereka yang meninggal dunia pada 2009.

“Saya memang sayang sangat pada dia, kami cuma tiga beradik lelaki. Kalau dengan emak, Aminah Abdullah (83 tahun), sebulan dua kali, beliau tetap akan singgah rumah dan ziarah emak walaupun sekejap untuk cium tangan emak,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu. – HARIAN METRO – SM

BACA PM imamkan solat jenazah Allahyarham Salahuddin Ayub

BACA Perjalanan terakhir Salahuddin Ayub…

 

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button