Nasionalpilihan

RM30 juta imbuhan tetap kakitangan awam gred 29 hingga 56 disumbang ke Akaun Bencana Negara

SEBANYAK RM30 juta jumlah Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi kakitangan awam gred 44 hingga 56 dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi gred 29 hingga 41 akan disumbangkan Akaun Amanah Bencana.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sumbangan itu melibatkan lebih 800,000 penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan gred 1 hingga 28.

“Perdana Menteri telah mengumumkan setiap Menteri dan Timbalannya tidak akan mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan sebagai tanda prihatin dan sumbangan kepada akaun tersebut.

“Sebagai solidariti ke atas usaha tersebut, JUSA A akan menyerahkan 50 peratus ITK, JUSA B (20 peratus), JUSA C (10 peratus) dan gred 44 hingga 56 sebanyak 5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zuki, gred 29 hingga 41 pula akan membuat sumbangan sebanyak RM10 dari ITKA mereka.


Kesemua sumbangan itu akan diserahkan bagi tempoh selama tiga bulan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha Kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di Negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota Perkhidmatan Awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Tambahnya, penjawat awam juga diminta untuk meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini. -SM

(Visited 674 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button