Nasional

Tiada masalah APM bantu mangsa banjir mengundi

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membawa pengundi ke pusat pembuangan undi jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan sewaktu banjir melanda.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Nor Hafifi Ismail berkata, APM telah menyusun atur strategi untuk melaksanakan dua tugas tersebut bukan sahaja membantu mangsa banjir tetapi juga membawa pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, tiada halangan melaksanakan dua tugas berkenaan kerana APM sudah bersedia menggerakkan semua aset terutama bot dan keanggotaan bagi membantu membawa pengundi yang terhalang untuk membuang undi.

“Jika PRU-15 berlaku sewaktu banjir kami bersedia menggerakkan semua aset yang ada dan jika tidak jadi, kita akan memberi fokus kepada membantu mangsa banjir sepenuhnya.

“Ini bukan kali pertama kita membantu SPR kerana sewaktu PRU-14 yang lalu, kami pernah terlibat membantu mengangkut mangsa banjir menunaikan tanggungjawab mereka walaupun pada masa yang sama kita
menghadapi banjir.

“Keutamaan kita ialah membawa pengundi orang kurang upaya (OKU), warga emas termasuk mereka yang tiada kenderaan untuk ke tempat membuang undi,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
perjumpaan, pemakaian pangkat dan penyerahan watikah Pegawai Bersekutu APM di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Nor Hafifi berkata, koordinasi daripada semua agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia memudahkan lagi tugas APM.

Beliau berkata, bagi menghadapi fenomena Monsun Timur Laut pertengahan November ini semua aset APM berada dalam kesiapsagaan yang cukup sempurna khususnya di kawasan yang berisiko berlakunya banjir besar.

Persiapan APM katanya termasuk menyediakan 10,520 keanggotaan, logistik darat (481 unit), logistik air termasuk bot pelabagai saiz dan jenis (759 unit), jaket keselamatan (5,772 unit), khemah (64,310 unit) dan genset (144 unit).

Selain itu katanya, sebanyak 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diwartakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersedia untuk digunakan termasuk dengan kemudahan seperti bekalan elektrik, air, tandas dan faktor kebersihan.

“Kita sudah melawat kesemua PPS berkenaan telah dilengkapi dengan segala kemudahan dan termasuk bekalan makanan sudah bersedia untuk menerima mangsa banjir dipindahkan ke situ,” ujarnya. – SM

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button