Nasionalpilihan

RM274 juta peruntukan pembangunan masyarakat Orang Asli tahun ini

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah RM274 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha mendokong pembangunan kemajuan masyarakat Orang Asli.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu meningkat RM37.8 juta berbanding peruntukan tahun lalu iaitu sebanyak RM236.2 juta.

“Jumlah berkenaan itu merangkumi peruntukan Pembangunan RM113.8 juta, Dasar Sedia Ada RM67.1 juta, Program Khusus RM90 juta dan pelaksanaan Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli & Penan atau KEDAP sebanyak RM3 juta.

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan ‘mock cheque’ elaun bulanan kepada Batin dan Penghulu untuk tahun 2022. Foto: UKK KPLB

Peruntukan yang disediakan ini menunjukkan Kerajaan Keluarga Malaysia begitu komited dalam memastikan tiada satu pun daripada rakyat Malaysia terpinggir daripada menerima pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.”

Beliau berkata demikian dalam  sidang media sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli bersama Pemimpin di Ibu Negara semalam.


Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Dato’ Mohd Nor.

Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika sidang media sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli bersama Pemimpin di Ibu Negara semalam. Foto UKK KPLB

Jelas Mahdzir, peruntukan besar  itu sekaligus menafikan tohmahan terhadap kerajaan meminggirkan keperluan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Sebaliknya kerajaan kata Mahdzir, meletakkan harapan yang tinggi kepada kepimpinan masyarakat Orang Asli untuk membantu Kerajaan dalam mencorak masa depan masyarakat Orang Asli.

Pada masa yang sama, kerajaan turut berharap Batin dan Penghulu Orang Asli memainkan peranan sebagai ejen penghubung diantara masyarakat Orang Asli dengan agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Dengan adanya pemimpin yang dilantik dalam kalangan komuniti Orang Asli sendiri, saya percaya bahawa masa depan masyarakat Orang Asli terpelihara.

Selain itu menurut Mahdzir, kerajaan turut membelanjakan sejumlah RM6.5 juta setahun bagi membayar elaun bulanan kepada Batin dan Penghulu.

Di pihak JAKOA pula sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan, sentiasa mencari ruang kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk manfaat kepada masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, pada majlis yang sama Mahdzir turut merasmikan Kad Pengenalan Tauliah Batin yang pertama kali diperkenalkan.

Penggunaan Kad Pengenalan itu bakal memudahkan pengecaman kuasa Batin dan Penghulu Orang Asli.

Selain memberikan keistimewaan tertentu kepada Batin dan Penghulu Orang Asli menerusi kerjasama dengan Maraliner, Bank Rakyat dan Aeon Big.

Untuk rekod, JAKOA melantik seramai 624 orang sebagai Batin dan Penghulu bagi mewakili 206,777 masyarakat Orang Asli pelbagai suku di seluruh negara. – SM

Artikel berkaitan > RM59.4 juta diperuntukkan kepada JAKOA bagi mendokong Dasar Pendidikan Negara

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button