Politik

Parti dominan: Muhyiddin tidak keliru – Dr. Marzuki

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak keliru berkaitan pandangannya mengenai kelemahan sistem parti dominan.

Menurut bekas Ketua Setiausaha Sulit ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad. sistem parti dominan yang menyebabkan pemusatan kuasa kepada individu yang memimpin parti telah diulas oleh ramai sarjana.

Antaranya In-Won Hwang dalam bukunya Personalized Politics: The Malaysian State Under Mahathir yang diterbitkan pada 2003 iaitu ketika UMNO merupakan parti yang dominan.

Beliau menegaskan Muhyiddin tidak keliru apabila menyebut bahawa era parti dominan telah berakhir. Ini kerana UMNO/BN sebagai parti dominan selama lebih enam dekad telah tewas termasuk di Johor iaitu negeri kubu kuat parti itu sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Datuk Seri Khaled Nordin yang juga merupakan Pengerusi BN Johor pada ketika itu tewas di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya. Adakah Tan Sri Muhyiddin keliru apabila beliau menyebut tentang berakhirnya era parti dominan? Tidak. Beliau tidak keliru. Itu fakta.

“Malah, Tan Sri Muhyiddin sepanjang menjadi Timbalan Presiden UMNO dari tahun 2009 hingga 2016 telah berkali-kali mengingatkan UMNO akan bahana yang akan menimpa parti itu jika mindset parti dominan yang angkuh, bongkak, sombong dan rakus kuasa tidak dihakis,” tambahnya.

Menurut Marzuki, nasihat yang diberikan Muhyiddin kepada UMNO ibarat mencurah air di daun keladi.

Malah apabila skandal 1MDB menjadi bahan ketawa di seluruh dunia UMNO masih yakin dapat memenangi PRU-14 dengan majoriti 2 per 3.

“Skandal terbesar dalam sejarah dunia ini berlaku semasa Malaysia diterajui oleh sebuah parti dominan. Mungkin dominasi parti dalam sistem politik dan kerajaan membuatkan sesetengah orang dalam parti itu berfikir mereka kebal. Mereka tidak boleh ditegur. Jadi mereka boleh buat apa sahaja tanpa rasa takut walaupun salah.

“Tidak mengapalah. Apa pun mereka nak fikir itu hak mereka. Saya tidak ada apa-apa hak untuk komen tentang apa yang mereka fikir. Tetapi saya nak sebut hal fakta.

“Akhirnya, oleh kerana mindset parti dominan yang menebal dalam UMNO, parti itu dihukum oleh rakyat dalam PRU-14. Sebuah parti dominan tewas dalam pilihanraya. Ini sejarah. Ini fakta. Tidak boleh sesiapapun keliru dengan fakta ini,” katanya.

Beliau mengulas mengenai padangan Mohamed Khaled bahawa Muhyiddin semakin keliru apabila bekas perdana menteri itu berkata, sistem parti politik yang dominan tidak lagi sesuai dan merbahaya kerana merbahaya kerana pemusatan kuasa adalah pada individu dan bukannya parti.

Menurut Mohamad Khaled, dalam pilihan raya akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia.-SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button