fbpx
NasionalPencemaranRencana

RM2 juta sepatutnya bina tangki kecemasan bukan beli dron

Komentar

PANTAU guna dron pun pencemaran tetap boleh berlaku, dron tidak akan mampu memantau keadaan di sepanjang sungai selama 24 jam.

Malah, pencemaran juga tidak semestinya berlaku akibat bahan buangan daripada kilang haram, ia turut berlaku akibat pembuangan toksik secara mobilisasi.

Masakan begitu mudah Kerajaan Negeri Selangor terlupa pencemaran yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Ketika itu kerajaan Selangor dan Johor adalah sekutu politik apabila kedua-dua negeri itu diperintah PH yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Adakah dron dijadikan penyelesaian kepada masalah Sungai Kim Kim berikutan pada Jun lalu terdapat laporan mengatakan sungai tersebut kini kembali bertoksik?


Namun, Kerajaan Negeri Selangor perlu sedar, isu pokok sekarang adalah masalah gangguan bekalan air kerana pencemaran menyebabkan jutaan penduduk terjejas.

Pindaan undang-undang untuk membanteras kegiatan mencemar alam sekitar seperti sungai baru-baru ini tidak akan menyelesaikan masalah dalam sekelip mata.

Namun tindakan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan RM2 juta untuk membeli dron itu perlu berbalik kepada penyelesaian gangguan bekalan air.

Begitu juga, dengan pemantauan dron sekalipun, masalah pencemaran tidak akan selesai dalam sekelip mata.

Sekalipun dapat dikesan menerusi dron, tong toksik pun selesai dibuang sebelum pihak berkuasa sampai untuk menangkap pihak yang melakukannya.

RM2 juta itu sepatutnya digunakan untuk membina loji dan tangki kecemasan sebagai simpanan tambahan bagi menampung bekalan yang terputus ketika pemberhentian operasi Loji Rawatan Air (LRA).

Selangor negeri termaju dan terkaya di negara ini, sepatutnya tidak ada masalah untuk kerajaan negeri membelanjakan sumber bagi membina loji dan tangki kecemasan.

Loji dan tangki kecemasan itu tidak semestinya beroperasi ketika berlaku pencemaran sahaja, ia juga boleh sentiasa digunakan secara berkala bagi memastikannya berfungsi dengan baik.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu memikirkan sumber lain selain air dari Sungai Selangor sebagai bekalan tambahan untuk kegunaan penduduk di sana.

Perkara ini sepatutnya dipertimbang untuk dilaksanakan terus kerana pada tahun ini sahaja terlalu kerap gangguan bekalan air berlaku.

Malah, terdapat tuduhan mengatakan kemungkinan gangguan ini disebabkan oleh sabotaj politik yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kalau sabotak politik sekali pun, bila ada loji dan tangki kecemasan tak akan ada masalah gangguan bekalan air.

Ada dron pun, kalau pencemaran berlaku, gangguan bekalan air pun tetap berlaku. Dron tak boleh hantar air ke rumah pengguna! – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button