MahkamahNasional

RM17.9 juta dipindahkan ke firma guaman dari Yayasan Akal Budi

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memindahkan RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi kepada sebuah firma guaman kerana bekas pembantunya, Mazlina Mazlan @ Ramly tidak mahir dalam kerja-kerja perakaunan.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga menolak hujah pihak pendakwaan bahawa beliau melakukan pecah amanah jenayah (CBT) apabila wang itu dipindahkan kepada Tetuan Lewis & Co pada 2016.

Ahmad Zahid yang memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan berkata, Mazlina melakukan banyak kesilapan dalam mengendalikan ceknya dan juga gagal memberinya penyata bank bulanan yayasan itu.

“Beliau hanya meminta maaf atas kesilapannya walaupun saya menegur dan membimbingnya dalam kerjanya.

“Beliau mengulangi kesilapannya dan saya tiada pilihan selain memastikan wang yang disimpan di bank dipindahkan ke firma guaman,” kata Ahmad Zahid ketika menjawab soalan peguamnya, Ahmad Zahidi Zainal.

Pemindahan wang itu adalah satu daripada 12 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapi Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, beliau mahu wang itu dikendalikan oleh firma guaman yang mempunyai akauntan bertauliah dan kepakaran lain dalam mengendalikan akaun pelanggan.

Beliau berkata, firma guaman itu diperkenalkan kepadanya oleh rakan peguamnya, Sashi Menon.

Pada 9 Mac tahun lepas, pihak pendakwaan mendedahkan RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi dikeluarkan oleh Ahmad Zahid tanpa kelulusan lembaga pemegang amanah yayasan amal itu.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fazli Zulkifli berkata, wang itu digunakan untuk pembelian saham dalam sebuah syarikat untuk anak perempuan Zahid, Nurulhidayah serta disimpan sebagai deposit tetap.

Fazli berkata, wang itu dipindahkan ke dalam akaun pelanggan Lewis & Co dan Ahmad Zahid yang juga pengasas Yayasan Akalbudi mengarahkan firma guaman itu untuk menguruskan wang tersebut.

Hari ini Ahmad Zahid berkata, beliau ingin menegaskan bahawa RM17,953,185.21 yang dikreditkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman itu masih milik Yayasan Akalbudi dan bukannya Yayasan Al Falah, Lewis & Co atau mana-mana pihak lain.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 tuduhan termasuk 12 tuduhan CBT, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi. – SM

 

 

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button