Politik

RM1 bilion untuk AirAsia boleh, kenapa untuk rakyat tak boleh?

UMNO Selangor mempertikaikan mengapa kerajaan mengamalkan sikap double standard dalam membantu rakyat.

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor berkata, kerajaan mampu memberi suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada AirAsia, tetapi berdolak-dalih apabila diminta membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Sebenarnya rakyat faham berkaitan pengeluaran KWSP. Rakyat juga sedar bahawa itu adalah simpanan hari tua dan kerana itu bukan semua wang tersebut hendak dikeluarkan.

“Di kala negara dilanda pandemik COVID-19, ekonomi rakyat memang terhimpit. Mungkin ramai pemimpin yang tidak merasa bagaimana kehidupan rakyat bawah B40 khususnya miskin tegar yang benar-benar terhimpit dan terpaksa ikat perut.

“Kerana itulah mereka merasakan bahawa pengeluaran wang KWSP ini mampu membantu mereka bukan hanya untuk kehidupan harian tetapi juga untuk mereka memulakan sesuatu yang lebih baik contohnya modal perniagaan bagi kelangsungan hidup,”  kata beliau lapor UMNO-Online.


Tambah Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara, walaupun kerajaan telah memberi kemudahan pengeluaran caruman akaun dua KWSP sebanyak RM500 selama 12 bulan berkuat kuasa 1 April lalu bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat namun ia tidak mencukupi bagi sesetengah golongan.

“Idea pengeluaran KWSP ini sebenarnya boleh diperhalusi oleh kerajaan. Tidak semestinya amaun RM10,000… ia boleh dikurangkan tetapi konsisten untuk beberapa bulan. Contohnya RM1 ribu setiap bulan untuk tempoh 5 bulan.

“Sudah pasti keprihatinan kerajaan ini akan melegakan rakyat yang benar-benar memerlukan, lagipun ini adalah wang rakyat… sekarang mereka memerlukan wang tersebut jadi tolonglah pertimbangkan sebaiknya.

“Janganlah kera di hutan disusukan tetapi anak di rumah mati kelaparan,” kata beliau.

Amin turut mempersoalkan apakah kepentingan dan keutamaan Air Asia sehingga masalah rakyat dikesampingkan.

Untuk rekod, AirAsia Group Bhd mendapat suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion (AS$242 juta) daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih dari kejatuhan disebabkan pandemik Covid-19.

Memetik laporan Nikkei Asia, berdasarkan sumber kementerian dan syarikat penerbangan, kerajaan dikatakan sudah pun meluluskan pinjaman itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Jelas Muhyiddin, sukar untuk kerajaan menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu tetapi kerajaan telah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat dan sekiranya kerajaan membenarkan perkara ini dilaksanakan maka rakyat akan menghadapi masalah lebih besar pada masa hadapan.

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button