Ekonomi

RM1.5 bilion bayaran Geran Khas Prihatian kepada peniaga mikro 10 Jun ini

Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 kepada 1 juta peniaga mikro sebanyak RM1,000 akan dibayar pada 10 Jun ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada 17 Mac 2021, kerajaan telah memutuskan pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih 1 juta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

Pada 31 Mei 2021, katanya, melalui program PEMERKASA+, kerajaan telah mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di mana jumlah tambahan sebanyak RM500 akan dibuat, menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro. Ini bermakna, jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion.

“Sukacita dimaklumkan bahawa hampir 1 juta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang baharu lulus GKP 3.0 akan menerima bayaran sebanyak RM1,000 mulai 10 Jun 2021 (Khamis) secara berperingkat melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1.0 bilion. Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

“Bayaran tambahan sebanyak RM500, melibatkan peruntukan hampir RM500 juta, akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.


Secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara. Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini.

(Visited 127 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button