Nasional

RM1.1 juta untuk bantu pesawah di Yan

SEBANYAK RM1.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih seluas 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir di Yan yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat kepala air dari Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Katanya, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana  Selasa lalu.

“Peruntukan RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Sebanyak RM555,000 lagi untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya ketika ditemui semassa meninjau kawasan terlibat di Yan hari ini.

Jelasnya, kesemua tanaman padi yang terjejas berusia antara 75 hingga 100 hari dan ditenggelami air sedalam 1.2 meter.

Selain itu, katanya, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama jabatan dan agensi khususnya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulihkan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.

“Laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000,” katanya.

J

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button