Belang Bertempat

Riwayat sedih seorang bekas Perdana Menteri

“Keputusan mahkamah hari ini menyebabkan sukar untuk Najib Razak kembali (dalam politik)”, antara nukilan laporan sebuah tv satelit.

Demikian berakhirnya proses perbicaraan kes penyelewengan melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib, bekas Perdana Menteri diputuskan bersalah. Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Riwayat politik Najib penuh berliku. Tanggal 21 Februari (2020) lalu genap 44 tahun penglibatan beliau dalam arena itu.

Detik beliau terjun ke bidang politik bermula apabila ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua, Tun
Abdul Razak Hussein kembali ke rahmatullah akibat penyakit leukemia pada 14 Januari 1976.

Politik bukanlah pilihan Najib yang tidak ada langsung dalam perancangannya kerana kerjaya setelah
menamatkan pengajian dalam jurusan ekonomi di sebuah universiti di London hanya ditumpukan ke bidang
korporat.

Najib semasa pemergian bapanya ke rahmatullah, baru berusia awal 20-an dan merupakan pegawai eksekutif di
Petroliam Nasional (Petronas).

Namun kerana desakan orang di Pekan, Pahang yang mahukan salah seorang anak Tun Razak meneruskan legasi Allahyarham, Najib akur.

Dan kerana orang Pekan begitu kasihkan Tun Razak termasuklah parti-parti pembangkang ketika itu yang
enggan bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya kecil 21 Februari tahun itu disebabkan rasa hormat yang tinggi kepada bapanya, Najib diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Dalam dugaan yang ditempuh Najib sepanjang 44 tahun bergiat dalam politik, peringkat awal penglibatannya
berjalan lancar.

Tetapi semasa mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau memikul beban berat untuk mengetuai Barisan Nasional yang hilang majoriti dua pertiga buat pertama kali sejak 1969 dalam pilihan raya umum 2008.

Sebelum itu semasa berjawatan Timbalan Perdana Menteri, fitnah datang bertali-arus menyerangnya apabila dikaitkan dengan kematian seorang wanita Mongolio. Dua kali beliau melafazkan sumpah dalam masjid bahawa beliau tidak terlibat dan mengenali wanita terbabit.

Dalam tempoh-tempoh itu fitnah dan adu domba begitu hebat dipalu dengan dibantu `peluru-peluru berpandu’
dari dunia siber yang baru muncul dan kian agresif di Malaysia. Blog-blog dan portal-portal propembangkang bermaharajalela.

Sekitar 2012, kerajaan dikaitkan dengan penyelewengan dan unsur rasuah dalam pembelian kapal selam
Scorpene. Ini sehinggakan `diatur’ oleh pembangkang dalam negara bahawa kononnya satu perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah Perancis berkaitan dakwaan isu ini. Tetapi Allah itu maha kuasa, rupa-rupanya ia hanya sekadar pembohongan jahat pembangkang.

UMNO dan BN tetap dalam fikiran percaturan strategis beliau. Ketika pembangkang meramalkan BN akan tumbang dalam pilihan raya umum 2013 setelah mengatur perancangan teliti terutama melalui slogan `ini kalilah’, Najib berjaya melepasinya.

Pembangkang ketika itu bagaimanapun terus dengan perancangan licik mereka untuk menumbangkan kerajaan demokrasi ini.

Tahun 2014 diramalkan lagi oleh musuh-musuh Najib bahawa beliau akan dapat disingkirkan selewat-lewatnya
pertengahan tahun 2015.

Tahun 2015 menyaksikan syarikat pelaburan strategik 1MDB, yang mencetuskan kegemparan, berjaya menyelesaikan pelan rasionalisasi dalam tempoh enam bulan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Ini berikutan penjualan 60 peratus ekuiti dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium tempatan dan
antarabangsa dengan mengurangkan hutang sebanyak RM7.4 bilion.

Isu sumbangan RM2.6 bilion yang diuar-uarkan pembangkang berkubur setelah Peguam Negara memutuskan Najib tidak menyalahi undang-undang. Hasil penilaian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan tiada suapan dalam dakwaan tersebut.

Sememangnya 2015 adalah dugaan terbesar Najib dengan beberapa isu panas, yang beliau dapat tangani dengan tenang. Malah Najib terselamat daripada cubaan menggulingkannya di luar proses demokrasi, melibatkan rangkaian pihak asing dan tokoh-tokoh tempatan sebagaimana terdedah dengan pengakuan Xavier Andre Justo dan beberapa lagi.

Begitupun semalam, nasib Najib sudah `terbalik’. Beliau dihambat kes penyelewengan dan salah guna yang membelenggu diri, keluarga dan surival politiknya.

Riwayat sedih seorang bekas Perdana Menteri – yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesemua tujuh pertuduhan serta denda RM210 juta.-SM

(Visited 836 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button