ParlimenPolitik

Kesihatan, keperluan ekonomi, dua-dua penting

KELONGGARAN diumum kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengambil kira kepentingan kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Namun, keputusan membenarkan rentas daerah dan negeri ketika PKPB kecuali di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) adalah berdasarkan kajian.

Ia termasuklah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk keberkesanan sekatan pergerakan dalam mengurangkan kadar penularan Koronavirus (Covid-19).

Walau bagaimanapun, dalam tempoh PKPB yang selama lebih sebulan ini dilihat tidak mengurangkan penularan secara mendadak.

Malah, tren penurunan juga dilihat terlalu sedikit dan ada hari-hari tertentu angkanya melonjak naik menyebabkan sekatan yang dikenakan kurang berkesan.

Oleh demikian, kebenaran rentas daerah dan negeri diharapkan mampu melonjakkan semula ekonomi negara dan penduduk tempatan khususnya dalam sektor pelancongan.

“Kerajaan sentiasa berusaha meredakan masalah Covid-19 dihadapi negara dan beberapa langkah diambil bagi mengimbangi keperluan menjaga kesihatan dan ekonomi, antaranya kebenaran merentas negeri dan daerah.

“Walaupun kes Covid-19 dilihat meningkat, keputusan ini buat berdasarkan kajian yang dilakukan.”

Demikian kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan kelonggaran tersebut susulan soalan berkenaannya dibangkitkan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman mengenai kelonggaran merentas negeri dan daerah.

Mak’mun membangkitkan hal tersebut kerana kelonggaran diberikan ketika kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan atau beransur reda.

Bagaimanapun, Aaron memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai fokus untuk berusaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Terdahulu, PKPB di Lembah Klang dan Sabah dilanjutkan sehingga 20 Disember ini ekoran peningkatan kes tidak membenarkan perintah tersebut ditamatkan pada masa sepatutnya.

Malah, Covid-19 terus mencatatkan jumlah jangkitan empat angka setiap hari apabila memasuki gelombang ketiga. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button