Nasional

Pakej rangsangan langkah tepat redakan tekanan kewangan rakyat

PAKEJ Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan semalam adalah bertepatan dengan situasi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi akibat penularan COVID-19 yang menjejaskan rutin perniagaan dan pekerjaan mereka.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata pengumuman itu juga meredakan keresahan ramai pihak yang terjejas mata pencarian semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Pakej itu melegakan kebimbangan sejumlah besar kelompok belia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan antaranya mereka yang bergaji harian, penjaja kecil, penggiat seni dan mahasiswa.

“Tindakan segera kerajaan (melalui pakej PRIHATIN) dengan bantuan kewangan yang pelbagai juga membantu meringankan beban golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40),” katanya mengulas pakej PRIHATIN itu seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA

BACA:

Semalam Perdana Menteri mengumumkan pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua dengan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.

Sebanyak RM100 bilion lagi untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua.

“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.

“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” tegas Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, pakej PRIHATIN ini merupakan manifestasi Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang
sukar ini. – BERNAMA

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button