Ekonomi

Ringgit didagangkan sedikit rendah pagi ini kesan dari Dolar AS yang mengukuh

RINGGIT dibuka rendah sedikit berbanding Dolar AS pada pagi Khamis (12 Mei) apabila sentimen Dolar AS semakin kukuh, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3815/3855 berbanding Dolar AS berbanding penutup Rabu pada 4.3755/3785.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Ringgit kekal begini untuk suatu tempoh kerana data inflasi dari AS terus kekal pada paras tinggi dengan cetakan Indeks Harga Pengguna terkini masuk pada 8.3% untuk April 2022 berbanding anggaran konsensus 8.1%.

“Ini bermakna Rizab Persekutuan AS akan berkecenderungan menaikan kadar faedar dan berkemungkinan agresif dalam langkah mengetatkan monetarinya,” katanya kepada agensi berita tempatan pagi ini.

Akibatnya, Indeks Dolar AS terus meningkat kepada 103.981 mata, tambahnya.


Bank Negara Malaysia pada hari Rabu meningkatkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2% selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari ketiga tahun ini.

Bank pusat itu berkata pembukaan semula ekonomi global yang berterusan dan peningkatan dalam keadaan pasaran buruh terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.

Sementara itu, Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menokok nilai sedikit berbanding Dolar Singapura kepada 3.1526/1559 daripada penutup Rabu pada 3.1583/1607, meningkat sedikit berbanding Euro kepada 4.6102/6144 daripada 4.6218/6250, juga meningkat berbanding Pound British kepada 5.3638/3687 5.4147/4184.

Bagaimanapun, berbanding Yen Jepun, ia susut sedikit kepada 3.3758/3792 daripada 3.3723/3748 pada penutupan hari Rabu. – SM

 

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button