Nasional

Belia umur 20 hingga 29 tahun paling ramai dijangkiti HIV

KUALA LUMPUR – Golongan muda berumur antara  20 tahun hingga 29 tahun paling ramai dijangkiti HIV iaitu sebanyak 45 peratus tahun lalu.

Kementerian Kesihatan mendedahkan kumpulan belia berusia 30 tahun hingga 39 tahun pula merupakan golongan kedua paling ramai dijangkiti HIV iaitu sebanyak 32 peratus.

Kumpulan berusia 40 tahun hingga 49 tahun pula meliputi 13 peratus dijangkiti HIV tahun lalu diikuti kumpulan berusia 13 tahun hingga 19 tahun iaitu tiga peratus.

Manakala tiada kes direkodkan dalam kalangan mereka yang berusia bawah 12 tahun.

Mengikut pecahan umur tahun lalu golongan lelaki paling ramai dijangkiti HIV iaitu 88 peratus. Manakala golongan wanita pula menyaksikan peningkatan jangkitan HIV iaitu 12 peratus tahun lalu berbanding hanya satu peratus pada 1990.

Sebelum ini Kementerian Kesihantan mendedahkan corak jangkitan HIV yang pertama kali dilaporkan pada tahun 1986 kini berubah dari golongan penagih dadah menjadi golongan paling ramai terdedah kepada jangkitan HIV kepada pengamal hubungan seks sejenis atau gay tahun lalu.

Tahun lalu sebanyak 57 peratus kes HIV direkodkan dalam jalangan pengamal hubungan seks sejenis. Ia  diikuti golongan pengamal seks bebas dalam kalangan heteroseksual iaitu sebanyak 37 peratus.

Manakala penagih dadah yang pernah menjadi kumpulan terbesar dijangkiti HIV apabila mula-mula dikesan pada tahun 1986 semakin menurun kepada 3 peratus sahaja.

Menurut Kementerian Kesihatan pada tahun 1990 majoriti jangkitan HIV adalah dalam kalangan penagih dadah iaitu 61 peratus kerana amalan berkongsi jarum suntikan.

Pada waktu itu tiada kes jangkitan HIV dilaporkan berkaitan amalan homoseksual. Sementara jangkitan akibat hubungan seks heteroseksual kerana bertukar-tukar pasangan pula dilaporkan sebanyak 5 peratus.

Manakala 34 peratus lagi disebabkan oleh faktor lain termasuk pemindahan darah, pemindahan organ, kemalangan tercucuk jarum.

Corak tersebut bagaimanapun semakin berubah pada tahun 2010 apabila jangkitan menerusi jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah menurun kepada 48 peratus.

Namun pada masa yang sama menyaksikan bilangan pengamal seks bebas dalam kalangan heteroseksual dijangkiti HIV meningkat kepada 40 peratus.

Jangkitan HIV dalam kumpulan pengamal hubungan seks sesama lelaki pula dilaporkan meningkat sebanyak 8 peratus pada tahun tersebut berbanding kosong peratus pada tahun 1990 dan tahun lalu menjadi kumpulan paling ramai dijangkiti HIV.-SM

 

 

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button