fbpx
Nasional
Trending

Rina nafi MARA henti bantuan kepada usahawan luar bandar

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menafikan dakwaan, kononnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menghentikan bantuan kepada usahawan luar bandar.
Beliau sebaliknya berkata MARA akan terus mengadakan pelbagai program, dalam usaha membantu sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan di luar bandar.

“Kalau ada yang kata kita hentikan bantuan kepada usahawan luar bandar, saya minta hentikan fitnah-fitnah ini.

“Saya lagi nak lahirkan lebih ramai jutawan, usahawan MARA dan MARA akan terus buat lebih banyak program untuk bantu usahawan-usahawan… yang penting MARA sebagai satu institusi, membantu masyarakat luar bandar, akan meneruskan usahanya baik dari segi pendidikan mahupun keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Bersama Masyarakat DUN Bagan Pinang di Port Dickson hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya MARA akan menghentikan bantuan kepada usahawan luar bandar.

Dakwaan itu timbul selepas Pengerusi MARA Dr Hasnita Hashim, membuat kenyataan bahawa MARA telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru, kecuali dalam bidang pendidikan pada Disember tahun lepas.


Mengulas lanjut, Rina berkata kenyataan itu mungkin telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak, sehingga menimbulkan kekeliruan.

Sehubungan itu, Rina berkata pihaknya akan membuat satu sidang media khas dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara itu.

“Kita tidak mahu timbul masalah ada yang menangguk di air keruh atau mungkin penyampaiannya tidak sampai dan sebagainya,” katanya.
— BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button