pilihan

Rina Haron lega Akta AGS 2021 diluluskan di Dewan Rakyat

Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (Akta AGS) 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini cukup melegakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Menurutnya, rang undang-undang itu adalah manifestasi yang membuktikan usaha kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini yang belum memiliki undang-undang khusus berhubung salah laku itu.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang ini bukan untuk menghukum pesalah kes gangguan seksual, tapi lebih kepada mendidik masyarakat bahawa budaya ini adalah satu kesalahan jenayah.

Sehubungan itu katanya, satu jawatankuasa penilaian akan ditubuhkan melibatkan pelabagai individu termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menilai keberkesanan rang undang-undang tersebut.

“Rang undang-undang ini diluluskan bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat bahawa gangguan seksual ini tidak sepatutnya dinormalisasikan.

“Justeru kita ingin lihat dalam kajian-kajian yang telah dibuat sebelum ini ramai wanita-wanita yang mengalami gangguan seksual tidak mahu tampil ke hadapan untuk membuat laporan berkaitan.

“Antara sebab mereka berbuat demikian kerana faktor malu dan fobia dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Anti Gangguan Seksual (Akta AGS) 2021 diluluskan selepas lebih 20 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sejak semalam.

Melalui RUU ini, ia mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.

Sewaktu membahaskan rang undang-undang tersebut ramai ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang mengucapkan tahniah dan sokongan kerana berjaya membentangkan AGS 2021.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata, rang undang-undang itu diluluskan telah membuktikan usaha kerajaan untuk menangani isu gangguan seksual daripada terus berlaku di negara ini. – SM

(Visited 364 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button