Nasional

Pemimpin perlu berfikiran terbuka untuk selesai isu rakyat – Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini bertitah pemimpin harus berfikiran terbuka dalam menyelesaikan isu rakyat terutama berkaitan pembangunan.

Baginda bertitah, pemimpin harus berfikiran terbuka, praktikal, kreatif, bernas, ke hadapan, holistik, bijaksana dan berintegriti.

“Baginda bertidah keperluan berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi sangat penting untuk menguruskan isu-isu rakyat dan disebabkan itu adalah penting untuk pemimpin berfikiran lebih jauh ke hadapan berbanding dengan mereka yang dipimpin,” titah Baginda seperti dilaporkan Bernama.

Baginda bertitah demikian ketika Perasmian Penggal Persidangan Ketiga Dan Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis hari ini.

Berangkat sama pada sidang tersebut ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda bertitah penularan pandemik COVID-19 menjadikan situasi kehidupan rakyat lebih sukar dan bercelaru sekaligus menuntut kualiti kepimpinan yang luar biasa.

“Kaedah dan jalan penyelesaian yang komprehensif juga perlu luar biasa. Inilah cabaran besar yang perlu pemimpin hadapi dan tangani dengan bijak,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar rakyat terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Janganlah alpa kerana risiko jangkitan virus ini tetap ada, Jadikan norma baharu sebagai amalan kebiasaan dalam hidup kita,” titah baginda.

BACA>Ingkar lagi PKP, 230 ditahan semalam

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah akibat kegagalan sebahagian dari mematuhi SOP dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini telah menyebabkan kes-kes positif meningkat semula.

Baginda bertitah Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi global akan mencatatkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19 dan ia menjadi cabaran kepada setiap negara di dunia.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ia turut memberi kesan negatif ke atas kerajaan negeri iaitu pengurangan kutipan hasil.

Baginda bertitah kerajaan negeri perlu berhadapan dengan realiti ini. Kerajaan negeri mestilah bijak mengatur perancangan bagi memulihkan semula ekonomi dan meningkatkan semula pendapatan rakyat yang terkesan dan hasil negeri.

BACA> Harga pelitup muka tiga lagis serendah RM1 seunit

“Beta yakin rakyat mengharapkan tindakan dan langkah proaktif daripada kerajaan negeri untuk terus menggerakkan semula ekonomi yang turut memberi manfaat langsung dan tidak langsung kepada mereka,” titah baginda.

Dalam titah Diraja itu, baginda turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada menteri besar dan kerajaan negeri yang prihatin berusaha membantu rakyat serta mengukuhkan semula ekonomi negeri.

“Beta gembira dengan pendekatan yang diambil kerajaan negeri dalam memberikan bantuan kepada rakyat dengan melibatkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat tanpa mengira perbezaan ideologi politik. Beta berharap pendekatan begini akan diteruskan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat negeri ini,” titah baginda. -SM

(Visited 414 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button