BanjirNasionalNegeriRibut

Ribut petir, angin kencang di Terengganu hingga tengah hari

PERKEMBANGAN terkini mangsa banjir di tiga negeri. Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Pahang mencatatkan pengurangan berbanding semalam manakala Perak, Kelantan dan Johor kekal.

Di Pahang, 387 mangsa banjir dilaporkan pagi ini berbanding 435 malam tadi dan melibatkan tiga daerah masih terjejas banjir.

Tiga daerah itu ialah Temerloh dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 210 mangsa selain Pekan (1 PPS, 142 mangsa) dan Bera (2 PPS, 35 mangsa).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, Sungai Triang di Bera masih berada di paras bahaya.

Manakala lima sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Luit di Kampung Subuh. Kedua-duanya di Maran.

Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Belat di Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin turut melepasi paras amaran.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di Temerloh dan Bera pada petang serta malam ini manakala Pekan dijangka mengalami hujan pagi tadi.

Selepas pukul 11.30 pagi ini, dilaporkan jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 69 orang daripada 22 keluarga berbanding 80 daripada 24 keluarga malam tadi dengan tiga PPS dibuka di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu (55 mangsa), Besut (12 mangsa) dan Setiu (dua mangsa) masih beroperasi setakat 8 pagi tadi.

Di Kelantan, Sekretariat JBPN merekodkan jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas kekal dengan 2,018 orang daripada 635 keluarga pagi ini.

Sama seperti direkodkan malam tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS di jajahan tersebut.

PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan 712 mangsa, SK Kedai Tanjong (47 mangsa), SK Gual Periok (544 mangsa), Masjid Mukim Padang Licin (73 mangsa), PPS Putat Tujoh (157 mangsa), SK Kubang Kual (251 mangsa) dan SK Sri Kiambang dengan 234 mangsa.

Di Perak, empat PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa kekal 147 orang daripada 39 keluarga sehingga 12 tengah malam tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan, empat PPS tersebut adalah SMK Abd Rahman Talib (SMART) di daerah Hilir Perak; Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung; Dewan SK Slim River, Muallim dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah.

Di Johor, mangsa banjir kekal 51 orang setakat 8 pagi ini berbanding malam tadi, dengan Segamat menjadi satu-satunya daerah yang terjejas ekoran bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan 15 keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak serta Balai Raya Kampung Kuala Paya dan mereka yang terjejas adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 Segamat dan Kampung Kuala Paya.

Cuaca di Johor Bahru dilaporkan cerah manakala sembilan daerah lagi mendung namun MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir setakat 6 pagi tadi melibatkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru, Pontian dan Mersing bagi ramalan sehingga 9 pagi ini.

Beberapa bahagian di Terengganu menerima amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga tengah hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam pemakluman di Facebook berkata, cuaca buruk itu melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Amaran ribut petir itu dikeluarkan sehingga 1 tengah hari,” katanya.

Amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button