Luar Negara

Ribuan warga Thai pulang dari dua kawasan Korea Selatan jalani kuarantin 14 hari

Thailand hari ini mengumumkan kuarantin selama 14 hari bagi semua warganegaranya yang pulang dari Daegu, pusat penularan wabak COVID-19 di Korea Selatan dan wilayah Gyeongsang yang berdekatan dengan kawasan itu.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata rakyat Thailand yang pulang dari kawasan wabak berkenaan akan dikuarantin di pusat-pusat yang ditetapkan di negara itu.

Beliau berkata mereka yang pulang dari wilayah lain di Korea Selatan akan dibenarkan pulang ke rumah tetapi pihak berkuasa kesihatan akan memantau keadaan mereka. Mereka yang menunjukkan gejala COVID-19 akan kekal di kemudahan kuarantin tersebut.

“Kerajaan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat. Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengenai COVID-19 di sini hari ini.

Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan, berkata pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan penyaringan penumpang yang tiba dari Korea Selatan.

Thailand berusaha membawa pulang ribuan warganya yang bekerja di Korea Selatan termasuk ‘Phi Noi’, istilah yang merujuk kepada pekerja haram Thai di Korea Selatan, berikutan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, jumlahnya tidak dinyatakan.

Kementerian Luar negara itu sedang mengusahakannya.

Kementerian Luar, Kedutaan Besar Thailand di Seoul dan Perkhidmatan Imigresen Korea (KIS) kini memantau keadaan pekerja Thailand tanpa dokumen yang berhasrat untuk pulang ke negara asal mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwannachai Wattanayingcharoenchai memberi jaminan bahawa pegawai kesihatan mengambil langkah-langkah pemantauan terhadap warga Thailand yang pulang dari Korea Selatan.

— BERNAMA

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button