
Ribuan Rebut Mangga Tercemar di Tapak Pelupusan Sumatera, Netizen Bimbang Risiko Racun
Satu klip video tular di TikTok memaparkan situasi mengejutkan apabila penduduk tempatan, termasuk kanak-kanak, berebut-rebut mengutip buah mangga yang telah dibuang di sebuah tapak pelupusan di Asahan, Tanjung Balai, Sumatera Utara. Buah-buahan tersebut sebenarnya telah disembur bahan kimia beracun dan tidak lagi selamat untuk dimakan.
Mangga seberat 9.3 tan itu merupakan hasil import dari Thailand yang telah dilupuskan oleh pihak berkuasa bersama Pusat Kuarantin Haiwan, Ikan dan Tumbuhan Sumatera Utara. Proses pelupusan itu dilakukan dengan menyembur racun bagi mempercepatkan pembusukan dan mengelakkan bijinya bercambah semula.
Namun, tindakan itu gagal menghalang orang ramai yang sanggup menggali tanah, mengutip buah tersebut dan membawanya pulang dalam plastik serta guni. Video yang dimuat naik oleh akaun @incekrasyid di TikTok telah ditonton lebih 320,000 kali dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Kebanyakan netizen meluahkan kebimbangan tentang kesan kesihatan yang mungkin dihadapi oleh penduduk, malah ada yang memberi amaran bahawa sebarang keracunan akibat tindakan itu tidak seharusnya dipersalahkan kepada pihak lain.
Insiden ini menyorot isu kemiskinan, kurangnya kesedaran kesihatan, dan kegagalan sistem pelupusan yang sepatutnya mengelakkan barangan tercemar daripada kembali ke tangan masyarakat.
Sumber : Refleks!