Acara

RHB Islamic Sumbang Zakat Korporat Tertinggi RM1 Juta kepada MAIPs

KANGAR, 14 Jun 2025 – RHB Islamic Bank Berhad hari ini menyerahkan sumbangan zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan institusi kewangan itu dalam menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf di Perlis.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak RM350,000 berbanding RM650,000 pada tahun lalu, sekali gus menjadikan ia sumbangan zakat tertinggi pernah disalurkan oleh RHB Islamic kepada MAIPs setakat ini.

Penyerahan simbolik sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bertempat di Masjid Al-Muqorrobin, Behor Empiang, bersempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-16 Tahun 2025.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

MAIPs Salur RM210,000 Kepada 300 Asnaf

Dalam program yang sama, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 300 penerima asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Behor Empiang, Abi, Nesam dan Kechor.

Jumlah agihan bernilai RM210,000, dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 bagi meringankan beban hidup mereka dan menyokong kelangsungan kehidupan komuniti setempat.

Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dan rakan strategiknya dalam mengangkat martabat golongan memerlukan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berkesan.

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button