Ekonomi

RHB Islamic, Kementerian Pendidikan lancar kad pintar untuk pelajar TVET

Kumpulan Perbankan RHB (RHB) melalui anak syarikatnya, RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), melancarkan inisiatif RHB MyTVETKPM yang memperkenalkan kad pintar pelbagai guna untuk pelajar di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (“TVET”).

Kad pintar pelbagai guna ini berfungsi sebagai kad identiti matrikulasi pelajar dan juga kad debit RHB.

Seramai 74,000 pelajar daripada 86 kolej vokasional dan 9 sekolah menengah teknik di seluruh negara bakal
mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Pelancaran MyTVETKPM mengukuhkan penjajaran RHB Islamic dengan aspirasi kerajaan Malaysia
untuk meningkatkan sektor TVET. Memandangkan TVET merupakan tonggak penting dalam sektor
perindustrian dan perkhidmatan negara, RHB amat bangga dapat menyumbang melalui penyelesaian
kewangan yang praktikal dan mesra pelajar dalam menyokong pembangunan saluran bakat yang
mampan,”kata Dato Adissadikin Ali, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank
Berhad.

Pelaksanaan MyTVETKPM di seluruh negara adalah berasaskan kejayaan MySISWA yang diperkenalkan pada tahun 2022 dan melibatkan lebih daripada 600,000 pelajar daripada 20 universiti awam.

MyTVETKPM merupakan kesinambungan kepada penyelesaian inovatif yang direka khusus untuk pelajar TVET.

Dengan pembukaan Akaun Simpanan-i RHB Pro, pelajar akan menikmati pengalaman ‘satu kad untuk semua’ dan membolehkan mereka mengurus dana, membuat pembayaran tanpa tunai, serta
menikmati promosi dan diskaun eksklusif.

Faedah-faedah ini merangkumi keistimewaan yang ditawarkan oleh pelbagai pembekal dan rakan niaga RHB yang mengambil bahagian, termasuk dalam sektor makanan dan minuman, pengangkutan, pendidikan, produk dan perkhidmatan berkaitan gaya hidup, serta pakej telekomunikasi dan data.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkasakan pelajar dan institusi pengajian melalui ekosistem kewangan holistik. Pengenalan kad pintar pelbagai guna bukan sekadar kemudahan, tetapi juga alat untuk meningkatkan aksesibiliti dan keterangkuman.

“Ia menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik, memupuk tabiat menabung, dan menyokong peralihan ke arah kampus tanpa tunai yang pintar di seluruh negara,” Adissadikin.

Perjanjian kerjasama untuk inisiatif ini telah dimeterai antara RHB Islamic dan Yayasan Didik Negara, iaitu badan filantropi rasmi Kementerian Pendidikan, pada tahun 2024. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button