Acara

RHB Islamic Bank Sumbang RM313,000 untuk Projek Akuakultur Asnaf di Perlis

KANGAR, 15 Jun 2025 – RHB Islamic Bank menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM313,000 bagi membiayai Projek Akuakultur Ternakan Ikan Keli di dua lokasi di Perlis iaitu Jalan Kaki Bukit Paya, Kangar dan Taman Desa Asnaf Chuping, Padang Besar.

Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Perlis 2025.

Pelancaran program disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs, sempena program MAIPs Peduli bersama RHB Islamic Bank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang turut melibatkan aktiviti kayuhan sejauh 10 kilometer di sekitar Jalan Kaki Bukit.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARA Datuk Hj Zulfikri Osman, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Datuk Adissadikin Ali, CEO Rural Capital Berhad (RCB) Hj Hiruddin Hashim, serta CEO MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Datuk Adissadikin, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada RM532,449 zakat wakalah yang telah disalurkan oleh RHB Islamic Bank sejak 2021 menerusi enam inisiatif ekonomi dan komuniti bersama MAIPs.

“Antara projek terdahulu termasuk Harvest Bakery, Bengkel Jahitan dan Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit yang telah memberi manfaat kepada hampir 200 individu, bukan sekadar dari aspek latihan kemahiran malah penyediaan fasiliti yang lengkap,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama erat dengan MAIPs akan terus diperkukuh dalam usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan komuniti B40, selari dengan komitmen RHB Islamic Bank untuk meningkatkan kesejahteraan ummah melalui penyaluran zakat secara strategik dan mampan.

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button