Nasional

Program empowerNCER berkesan bangunkan pendidikan holistik di negeri Perak

PROGRAM empowerNCER Akademik yang dikendalikan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)merupakan program modal insan yang melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah.

Menurut Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan program ini bertujuan untuk memberikan pendidikan yang holistik kepada murid daripada keluarga B40 yang mempunyai prestasi akademik yang lemah untuk cemerlang dalam akademik dan kemahiran pembangunan diri demi mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang serta mencegah kemiskinan pada masa hadapan”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ruang pameran empowerNCER Akademik (UPSI) sempena majlis Anugerah Buku Negara 2023 turut memuji inisiatif NCIA dan UPSI baru-baru ini.

“Program ini selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Hormat dan Keyakinan yang membantu mencapai misi yang ditetapkan oleh NCIA, malah kerjasama UPSI memberi sokongan dan dorongan kepada sekolah-sekolah bagi membantu murid-murid B40 ini mencapai kejayaan yang cemerlang sekaligus membantu mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan sebagai usaha untuk menyahut misi Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) iaitu
“Menyediakan Murid Kalis Masa Hadapan”.

Beliau berkata program empowerNCER Akademik yang dikelolakan UPSI itu melibatkan sembilan daerah di Negeri Perak iaitu Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah dan seramai 4550 murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 2300 murid Orang Asli secara langsung sejak tahun 2019 sehingga kini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bermesra murid orang Asli yang mengikuti program empowerNCER Akademik UPSI

Beliau berkata banyak kemudahan yang diberikan kepada murid-murid yang terlibat, antaranya tablet, modul, kelengkapan alat tulis, kelengkapan persekolahan (murid Orang Asli) dan sebagainya.

Bermula pada tahun 2020, terdapat seramai 150 murid SPM dan 300 murid Orang Asli yang terlibat daripada 3 daerah yang terdiri daripada 4 buah sekolah menengah dan 5 buah sekolah murid Orang Asli. Pada tahun 2021pula, seramai 1400 murid SPM dan 900 murid Orang Asli daripada 7 daerah yang terdiri daripada 21 buah sekolah menengah dan 15 buah sekolah murid Orang Asli yang terlibat.

Pada tahun 2022, terdapat seramai 1200 murid SPM dan 600 murid Orang Asli daripada 7 daerah yang terdiri daripada 18 buah sekolah menengah dan 16 buah sekolah murid Orang Asli, manakala tahun 2023, seramai 1800 murid SPM dan 500 murid Orang Asli daripada 9 daerah yang terdiri daripada 31 buah sekolah menengah dan 17 buah sekolah murid Orang Asli yang terlibat dengan program ini.

Beliau berkata pihak empowerNCER Akademik (UPSI) membantu murid-murid yang terlibat mencapai kecemerlangan. Pada SPM 2020, seramai 149 (99.3%) murid telah lulus SPM, 14 (9.3%) murid telah capai keputusan 5A ke atas dan 117 (78%) murid telah meningkat tahap Gred Purata Murid (GPM). Pada SPM 2021, seramai 1273 (90.9%) murid telah lulus SPM, 113 (8.1%) murid telah capai keputusan 5A ke atas dan 1232 (88%) murid telah meningkat tahap GPM.

Katanya, pada SPM 2022, seramai 1131 (94.2%) murid telah lulus SPM, 121 (10.1%) murid telah capai keputusan 5A ke atas dan 1053 (87.8%) murid telah meningkat tahap GPM. Bagi murid Orang Asli, pada tahun 2021 seramai 249 (83%) murid tahun 6 telah mencapai Tahap Penguasaan (TP) 3 ke atas bagi penilaian di sekolah. Pada tahun 2022, seramai 570 (95%) murid tahun 6 telah mencapai TP3 ke atas minimum 3 subjek bagi penilaian di sekolah. Murid tahun 5 yang terlibat pula dapat menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dengan baik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak empowerNCER Akademik (UPSI) juga memberikan yang terbaik dalam menangani segala masalah dengan matlamat memberi semua kemudahan yang ada kepada murid orang asli.

“Dengan memegang kepada konsep “No one leave behind”. Kerangka program yang dilaksanakan juga sangat sesuai dan memberi pendedahan dari segi akademik dan juga sahsiah murid,” katanya.

Beliau berkata pendedahan pembelajaran secara didik hibur (belajar sambil bermain) merupakan insiatif yang sangat bagus untuk menarik minat murid. Diberikan juga modul yang cukup lengkap dengan cara pembelajaran sambil berhibur.

Program Campus Life, Ways of Winning (WOW) dan Bersepadu merupakan program yang di mana pihak UPSI membawa murid ke UPSI bagi merasai alam universiti dan pendedahan untuk menanamkan minat murid untuk belajar sehingga ke menara gading. Melalui program ini, pihak empowerNCER Akademik (UPSI) menerapkan elemen 3A seperti yang digariskan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Md Amin Md Taff iaitu Akademik, Adab dan Akhlak bagi membantu kemenjadian murid-murid dibawah empowerNCER Akademik UPSI.

Prof Dr Norkhalid Salimin.

Selain itu, program tersebut sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan iaitu Anjakan Satu: Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa.

“Kami berharap program pihak empowerNCER Akademik (UPSI) dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara sekolah-sekolah yang terbabit dan murid-murid mendapat pendedahan yang baik dan bersemangat untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang tertinggi, “ katanya. -SM

Baca : MPP UPSI serah buku laporan kepada PMX sambut agenda pemerkasaan mahasiswa KPT

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button