Nasional

Covid-19: Syarikat penerbangan rugi RM10.9 bilion

SYARIKAT penerbangan  mungkin kerugian RM10.9 bilion tahun ini ekoran sebahagian impak besar wabak Covid-19 ke atas perkhidmatan penerbangan di seluruh dunia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pengendali lapangan terbang turut mengunjurkan kerugian sekitar RM2.1 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Memetik laporan FMT hari ini, Ka Siong berkata, secara keseluruhan 169,728 penerbangan dibatalkan untuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air yang menjejaskan lebih 4 juta penumpang.

Kata Ka Siong lagi, 1.2 juta penumpang memilih untuk menangguhkan penerbangan mereka manakala 1.9 juta lagi memilih untuk mendapatkan bayaran balik dalam bentuk nota kredit berjumlah hampir RM125 juta.

Kira-kira 628,000 penumpang memilih bayaran balik tunai berjumlah RM400 juta untuk semua syarikat penerbangan. Malaysia Airlines membayar RM294 juta kepada 190,000 pelanggannya, katanya.

Ka Siong menambah, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membantu penumpang terbabit dengan meminta syarikat penerbangan membuat bayaran balik berdasarkan setiap kes.

Mengenai isu tambang mahal bagi penerbangan domestik, Ka Siong menjelaskan, semua syarikat penerbangan diminta membantu.

“Kita boleh meminta bantuan daripada syarikat penerbangan tetapi Putrajaya tidak mengawal harga tiket.

“Sebaliknya terpulang kepada pasaran untuk menentukannya.

“Saya juga sudah mengarahkan Mavcom untuk pantau. Sudah ada trend penurunan dalam harga,”ujar beliau.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menempah tiket pada saat akhir pada musim puncak seperti cuti sekolah dan perayaan dan itu akan membantu menurunkan harga. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button