Nasional

Rentas sempadan Malaysia-Singapura dijangka dibenar 10 Ogos

SEMPADAN antara Malaysia dan Singapura dijangka akan dibenarkan pada 10 Ogos depan.

Ini berikutan kedua-dua negara bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Kebenaran akan diberikan bagi urusan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama melibatkan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

“RGL akan membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.

“Mereka yang memenuhi syarat harus mematuhi peraturan melibatkan langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara termasuk menjalani ujian swab Polymerase Chain Reaction (PCR).

“Wujud keperluan juga kepada mereka yang merentas sempadan untuk menyerahkan jadual perjalanan kepada pihak berkuasa negara berkenaan dan perlu mematuhinya semasa lawatan mereka,” memetik kenyataan itu.

Pemegang pas jangka masa panjang juga dibenarkan berada di Malaysia atau Singapura untuk tempoh tiga bulan.

“PCA pula akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka masa panjang bagi tujuan perniagaan dan bekerja untuk memasuki negara satu lagi dan bekerja.

“Selepas tiga bulan berturut-turut di negara mereka bekerja, mereka dibenarkan pulang ke negara asal untuk bercuti sementara, dan dibenarkan memasuki semula ke negara mereka bekerja untuk tempoh tiga bulan lagi secara berturut-turut.

“Mereka yang memenuhi syarat harus mematuhi peraturan melibatkan langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara,” kata kenyataan tersebut.

Prosedur operasi standard (SOP) untuk keluar masuk kedua-dua negara akan diumumkan 10 hari sebelum pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut.-SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button