Merrepak

Perodua setuju beli semula kereta dengan harga penuh – Nagakanni

“Kerana gula, semut bersatu,” itu kata-kata Nagakanni Subramaniam, 31, pemilik kereta Perodua Bezza yang rosak dalam tempoh kurang lapan jam selepas dibeli.

Beliau berkongsi berita gembira menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini, apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dikatakan bersetuju membeli semula kereta Perodua Bezza miliknya itu.

Menurutnya, syarikat pengeluar kereta itu turut menawarkan pembelian kereta kedua pada kadar pinjaman yang sama.

Bagaimanapun, katanya, dia diberi tempoh tujuh hari untuk membuat keputusan.

“Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh. Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran sebelum ini pun saya akan dapat semula pemulangan wang.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain,” tulisnya.

Nagakanni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat terbabit atas tawaran berkenaan dan semua pihak yang membantunya menuntut hak.

Katanya, dia terhutang budi dengan semua pihak yang membantu.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya kerana gula, semut bersatu,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, kegembiraan memiliki kereta yang baharu dibeli bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang kerani apabila Perodua Bezza yang dibelinya itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, Nagakanni terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Susulan itu, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memberi jaminan bagi mengutamakan kes pelanggan itu.

Beliau dilaporkan berkata, Perodua mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan isu termasuk menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan membeli semula kereta berkenaan.

Bagaimanapun, Nagakanni menyatakan syarikat pengeluar kenderaan itu tidak pernah memberikan perjanjian secara bertulis tentang penyelesaian masalahnya.

Dia dilaporkan berkata, terutamanya mengenai jaminan serta perjanjian bertulis sama ada kereta itu akan dibeli semula dan dia tidak perlu membayar pinjaman kereta berkenaan.

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button