Nasionalpilihan

Bajet 2022 pastikan rakyat tidak ketinggalan dalam gelombang pendigitalan

Bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan, sudah tiba masanya untuk Kerajaan meletakkan asas bagi transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan infrastruktur, menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem untuk kita semua menyumbang ke arah taraf hidup yang lebih tinggi dengan hasilnya akan dapat dinikmati oleh setiap Keluarga Malaysia.

“Kita menyambut baik pengumuman Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera berpaksikan kepada tiga fokus utama iaitu agenda pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

“Sehubungan dengan itu, Bajet 2022 KKMM akan tertumpu kepada program-program pendigitalan
nasional, pemulihan industri kreatif dan kemampanan komunikasi kerajaan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.625 bilion yang diyakini dapat membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kesukaran yang dihadapi sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara,” katanya.

Menurut Annuar, kerajaan telah memperuntukkan RM1.1 bilion bagi program latihan peningkatan kemahiran digital yang dijangka akan memberi faedah kepada 220 ribu pelatih.

Beliau berkata, sebahagian peruntukan diberikan bagi pelaksanaan Program Global Online Workforce (GLOW) yang akan diteruskan ole  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Bagi tahun 2022, Kerajaan menyediakan RM700 juta ringgit untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah terutamanya di luar bandar.

Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pantas. Di samping itu, ia juga merapatkan jurang digital serta mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Perkhidmatan 5G juga jelasnya akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Katanya, untuk meningkatkan penerapan digital dalam kalangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), Kerajaan akan menambah baik inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS.

Jumlah dana bagi skim ini telah dinaikkan kepada RM200 juta ringgit dengan RM50 juta ringgit dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

“Bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agensi di bawah KKMM akan juga mentransformasikan 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sebagai pusat sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital,” katanya.

Ujarnya, dalam usaha untuk memanfaatkan perkembangan golongan nomad digital, kerajaan akan memperkenalkan program Malaysia Digital Nomad untuk mewujudkan komuniti dan ekosistem nomad digital di Malaysia dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkin.

Selain itu, Bajet Keluarga Malaysia yang prihatin kepada semua golongan rakyat akan membantu meringankan beban ibu bapa dan anak-anak muda melalui pemberian peranti dan pelepasan cukai pembelian peranti, inklusif, membolehkan jurang digital antara yang miskin dan yang berada, yang di bandar dan di pedalaman dirapatkan.

“Ini bakal direalisasikan dengan peruntukan sebanyak RM450 juta oleh Kerajaan di samping komitmen syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta bagi pelaksanaan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

“Pakej ini akan memastikan seramai 600,000 pelajar IPT daripada keluarga B40 boleh memiliki tablet untuk menjalani pembelajaran yang lebih mampan dan akan dapat mengurangkan risiko keciciran pembelajaran,” katanya.

Di samping itu, Annuar berkata rakyat juga dapat memanfaatkan pelanjutan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

Keprihatinan Kerajaan kepada golongan OKU juga terus dititikberatkan di mana dengan bantuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan Juru Bahasa Isyarat (JBI) dalam penyampaian berita mereka.

Inisiatif ini akan meningkatkan akses terhadap media bagi golongan OKU yang membolehkan mereka lebih cakna dengan berita semasa dan informasi terkini.

Pada tahun 2021, industri kreatif merupakan sektor yang paling terkesan dan menjejaskan lebih sejuta penggiat seni.

KKMM berharap pemain industri dan semua pemegang taruh sektor ini akan lebih aktif dan agresif menjana semula pendapatan dalam norma baharu dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM288 juta yang dikhususkan untuk industri kreatif.

Dalam merancakkan semula aktiviti industri kreatif, agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan MyCreative Ventures melalui peruntukan berjumlah RM188 juta akan meneruskan pelbagai inisiatif Dana Kandungan Digital, Projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, Program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan artis.

Sebagai tambahan, pada tahun hadapan Kerajaan akan menjayakan program RIUH Keluarga Malaysia melalui Dana Padanan Pinjaman Pelaburan berjumlah RM20 juta. Langkah ini dijangka memberi
5,000 peluang pekerjaan baharu.

“Saya juga pasti peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan syarikat produksi animasi dan mengetengahkan lebih banyak animasi tempatan ke persada antarabangsa di bawah kendalian MyCreative Ventures disambut baik oleh penggiat industri kreatif.

Manakala geran padanan untuk organisasi yang melaksanakan inisiatif seni dan budaya dengan peruntukan RM50 juta akan turut memacu pemulihan serta menjana ekonomi industri kreatif negara,” jelasnya.

Selain itu, pengumuman pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022 juga akan memberi kelegaan kepada pihak yang terlibat.

Usaha ini pastinya akan membantu memulihkan semula aktiviti hiburan yang telah terjejas teruk.

Bajet 2022 akan memastikan Keluarga Malaysia terus terpelihara dan tiada yang ketinggalan dalam menikmati kemakmuran negara. -SM

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button