
Rekod Pecah Lagi! PTTI Raih MBOR dan Tarik Ribuan Pelajar
PUSAT Tuisyen dan Pendidikan Inovatif (PTTI) sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 4,000 calon SPM 2024 dalam program mega Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI Selangor yang berlangsung penuh gemilang di Ideal Convention Centre (IDCC), baru-baru ini.
Program tahunan yang menjadi tradisi PTTI itu menyaksikan kehadiran luar biasa pelajar dari seluruh negara, dengan lebih 3,000 daripadanya adalah pelajar dari negeri Selangor sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, berkata sambutan memberangsangkan itu bukan sahaja membuktikan keberkesanan pendekatan akademik PTTI, malah menjadi petanda positif terhadap semangat dan kesungguhan pelajar menghadapi peperiksaan penting itu.
“Ini adalah pencapaian terbesar kami dalam siri seminar Road Tour Score A Plus SPM apabila berjaya mengumpulkan lebih 4,000 pelajar. Kehadiran luar biasa ini menunjukkan minat tinggi pelajar untuk belajar dan bersedia lebih awal,” katanya.
Menurutnya, seminar tersebut bukan hanya menekankan teknik menjawab soalan, tetapi turut memberi fokus kepada subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik, dengan pendekatan tersendiri yang terbukti berkesan.
Sejak ditubuhkan lebih sedekad lalu, PTTI terus menjadi institusi yang diyakini dalam memberikan bimbingan akademik konsisten. Tahun ini, PTTI mencatat pencapaian membanggakan apabila seramai 400 pelajar berjaya memperoleh keputusan ‘straight A’ dalam SPM 2024.
“Kami telah melahirkan lebih 800,000 pelajar sejak ditubuhkan, dan teknik serta formula pembelajaran yang dibangunkan terbukti membantu mereka mencapai keputusan cemerlang,” tambahnya.
Lebih membanggakan, PTTI turut diraikan dengan kejayaan berganda apabila dianugerahkan dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu:
-
Most Straight A’s in a Tuition – 400 pelajar memperoleh semua A.
-
Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition – 18,432 gred A dikumpul oleh pelajar PTTI.
Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran personaliti terkenal termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta selebriti Bella Astillah, yang hadir memberikan kata-kata motivasi dan inspirasi kepada para pelajar.
Turut membuat penampilan ialah selebriti popular seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi, menjadikan seminar tersebut bukan sahaja bermanfaat dari segi ilmu, tetapi turut membakar semangat pelajar dengan aura positif daripada ikon belia negara.