JenayahNasionalNegeri

Scammer: Menteri Besar Perlis buat laporan polis

AKHIRNYA Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tampil membuat laporan polis apabila “scammer” masih berdegil menggunakan gambarnya dalam satu iklan pelaburan patuh syariah di Facebook (FB) sejak 14 April lalu.

Mohd Shukri hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada kira-kira pukul 5 petang semalam dan berada di situ selama sejam.

Pada sidang media, Mohd Shukri berkata, beliau menyedari gambarnya digunakan “scammer” apabila menerima tangkapan skrin pada kira-kira pukul 4.30 petang, 14 April lalu.

“Saya bertindak mengesahkan iklan itu palsu yang kemudiannya dimuatkan dalam status FB sendiri pada tarikh berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Shukri, “scammer” tetap berdegil apabila terus menyiarkan iklan berkenaan.

“Kemuncaknya hari ini saya sudah tidak boleh berkompromi lagi dengan “scammer” apabila tampil membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, iklan itu menggunakan tektik menjanjikan keuntungan pelaburan hanya dalam tempoh tiga jam iaitu melabur RM300 dapat RM10,999, RM500 dapat RM15,999 pastinya menarik ramai untuk melabur.

Beliau bimbang jika iklan itu berterusan maka ia akan melibatkan lebih ramai lagi mangsa.

“Saya mahu “scammer” hentikan iklan ini dan mangsa seharusnya bertindak sama iaitu membuat laporan polis,” katanya.

Beliau juga difahamkan ada lagi beberapa pemimpin PAS di luar Perlis yang telah digunakan oleh “scammer” dalam iklan pelaburan yang sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar, Assistan Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan Mohd Shukri membuat laporan polis pada kira-kira pukul 5 petang semalam.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan  Multimedia (AKM) 1998.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sama ada berlaku unsur memfitnah terhadap Menteri Besar berkaitan dengan penyebaran skim pelaburan ini di media sosial. – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button