Nasional

Situasi Covid-19 masih genting, kes kategori 4, 5 meningkat

SITUASI penularan jangkitan virus Covid-19 di Malaysia masih dalam keadaan genting meskipun statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif Covid-19 bagi tempoh dua minggu epidemiologi (ME) dari 30 Mei hingga 5 Jun (ME ke-22).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, penurunan kes Covid-19 hasil daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula pada 12 Mei.

Namun begitu dalam tempoh yang sama jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan jangkitan kes yang mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21 dari 23 Mei hingga 29 Mei.

“Pada awal ME ke-21 (23 Mei) jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 (30 Mei) meningkat kepada 78,017 kes iaitu peningkatan sebanyak 20,995 kes atau 37 peratus.

“Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat. Pada 8, jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82, 797 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau,  hospital di seluruh negara ketika ini sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius kategori 4 dan 5.

Kumpulan pesakit berkenaan memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

Jelas beliau, kadar penggunaan katil COVID-19 di unit rawatan rapi telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei kepada 104 peratus pada 6 Jun.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurut beliau, pesakit kategori 4 dan 5 memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari manakala tempoh rawatan selama 19 hari ke 26 hari bagi pesakit kategori 5.

Sementara itu, sehingga 6 Jun lalu kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu dari 99 peratus kepada 89 peratus.

Kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) juga menunjukkan penurunan kepada 54 peratus. -SM

 

 

 

 

 

 

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button