Belang Bertempat

Jangan dera rakyat

REJIM kuku besi kembali. Kritik parti dipecat. Kritik kerajaan media sosial digam.

Lebih buruk laporan polis dibuat dan berdepan tindakan pihak berkuasa.

Taktik lapuk iaitu menyekat peruntukan untuk kawasan parlimen pembangkang juga dilaksanakan.

Lebih enam bulan peruntukan yang sepatutnya dibelanja untuk rakyat disekat.

Ini sikap yang tidak betul kerana kononnya kerajaan hari ini mengamalkan sikap telus, adil dan tatakelola yang baik.

Rakyat sudah memilih wakil mereka dan bakal memilih di enam buah negeri pada pilihan raya negeri melalui proses demokrasi.

Mengapa perlu disekat dan dibungkam suara rakyat dengan mendera mereka kerana tidak menyokong kerajaan.

Rakyat sendiri terperangkap dalam politik caca merba kerana mereka mengundi lain, tetapi dapat kerajaan yang lain.

Jadi wajarkah rakyat dijadikan hamba tebusan dalam situasi ini?

Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Md Nawi di Dewan Rakyat ketika membahasakan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mumtaz berkata suruhanjaya itu menerima peruntukan cecah jutaan ringgit untuk menjalankan pelbagai program di seluruh negara.

Pada tahun 2016, Suhakam menerima peruntukan sebanyak RM5.9 juta manakala RM12.9 juta bagi tahun 2020.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen yang turut menjadi hak asasi mereka telah dinafikan oleh pihak kerajaan.

“Jadi bagaimana kita boleh membincangkan tentang hak asasi orang lain sedangkan ahli Parlimen pilihan rakyat tidak mampu dan tak diberikan hak asasi sekurang-kurangnya elaun untuk pejabat.”

Tambahnya lagi, peruntukan itu amat penting bagi memastikan tugas harian dan fungsi-fungsi yang dipikul oleh pejabat Parlimen di setiap negeri dapat beroperasi tanpa halangan.

Sebelum ini, dilaporkan tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang.

Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin.

Tambah Mumtaz, tidak dinafikan setiap ahli-ahli Parlimen menerima gaji untuk menjalankan kerja kepada rakyat setempat.

Bagaimanapun, tiada peruntukan tambahan disalurkan untuk meneruskan fungsi pejabat selain sering dipinggirkan oleh menteri apabila melawat kawasan-kawasan Parlimen pembangkang.

Baginya, peranan pejabat ahli Parlimen bukan hanya meliputi kerja-kerja pejabat tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada orang awam.

Ini termasuklah menyediakan taska dan fasiliti lain yang boleh dimanfaatkan secara menyeluruh dalam kalangan penduduk Parlimen masing-masing.

“Jadi saya mohon hak asasi manusia perlu bermula dari Parlimen,” ujarnya lagi.

Oleh itu jangan heret rakyat dalam pertikaian politik.

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button