fbpx
Politik

Dua dekad rai reformasi, PKR bersidang penuh sejarah hari ini

MERAIKAN reformasi selama 20 tahun, hari ini Kongres Nasional PKR 2019 bersidang penuh bersejarah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Menumpukan agenda penerusan reformasi yang menjadi asas perjuangan parti, pentas persidangan akan menyaksikan buat pertama kali pengasasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden parti setelah beliau dipilih memegang jawatan itu tanpa bertanding pada pemilihan tahun lepas.

Anwar dijadual menyampaikan ucapan dasar di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan pada 9.20 pagi sejurus selepas ucapan aluan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail.

Menerusi ucapan dasar itu, Anwar sekali gus merasmikan kongres bertema ‘20 Tahun Keadilan : Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’.

Ia kemudian disusuli sesi perbahasan untuk membahaskan ucapan dasar tersebut.


Seramai 16 perwakilan akan menyertai perbahasan sebelum persidangan dijangka ditangguh pukul 4.30 petang.

Turut dijangka menjadi tumpuan perwakilan dan penyokong parti, bahkan pemerhati politik, adalah permuafakatan antara dua pemimpin utama parti yang mengetepikan perbezaan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berlaku pergeseran politik antara mereka dan penyokong masing-masing.

Semalam, hari kedua kongres tahunan menyaksikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 berlangsung serentak dalam suasana yang berbeza apabila kongres sayap AMK dicemari insiden kekecohan.

Kongres Nasional PKR ke-14 itu akan berakhir esok. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button